Jumaat, 18 November 2022 | 12:32pm
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, berucap pada Sidang Kemuncak COP27 di Mesir. - Foto AFP
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, berucap pada Sidang Kemuncak COP27 di Mesir. - Foto AFP

Hentikan tuduh menuduh berhubung isu iklim - Guterres

SHARM EL SHEIKH: Ketua Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, menggesa negara kaya dan membangun berhenti saling 'menuding jari' dalam rundingan iklim COP27 yang masih buntu setakat ini.

Sebaliknya, beliau menggesa supaya semua negara kaya dan membangun mencapai kesepakatan untuk menampung kerugian yang dialami oleh negara yang terdedah kepada bencana cuaca.

Persidangan COP27 yang berlangsung selama dua minggu di Mesir akan berakhir secara rasmi, hari ini.

Perunding kini giat mencari jalan tengah berhubung isu 'kehilangan dan kerosakan' alam sekitar serta berusaha menghalang rundingan daripada gagal.

Guterres berkata jelas terdapat 'rasa tidak percaya' antara negara maju dan membangun, selain menambah bahawa cara paling berkesan untuk membina keyakinan adalah merumuskan 'perjanjian yang bercita-cita tinggi dan boleh dipercayai'.

"Ini harus merangkumi aspek kerugian dan kerosakan serta sokongan kewangan untuk negara yang terdedah kepada bencana alam akibat perubahan iklim dan pelepasan gas hijau.

"Ternyata Ini bukan masa untuk menuding jari. Permainan saling menuding jari mencari kesalahan orang lain adalah resipi untuk kemusnahan.

"Masa untuk bercakap mengenai kewangan, kerugian dan kerosakan sudah berakhir, kita memerlukan tindakan", katanya pada sidang COP27 di Mesir, sejurus selepas meninggalkan mesyuarat pemimpin G20 di Bali, Indonesia.

Beberapa jam selepas campur tangan Guterres, Presiden COP27, Sameh Shoukry, menggesa delegasi menghabiskan perbincangan dengan segera.

"Kami tidak berada di tempat yang sepatutnya untuk menutup persidangan ini dengan hasil yang ketara dan kukuh," katanya.

Naib Presiden Suruhanjaya Eropah, Frans Timmermans, mencadangkan penubuhan 'dana tindak balas kerugian dan kerosakan untuk negara yang paling terdedah' sebagai kompromi.

Bagaimanapun katanya pembiayaan harus datang daripada 'asas penderma yang luas', iaitu kod untuk China, pencemar utama dunia dan ekonomi kedua terbesar global untuk mengambil bahagian.

Amerika Syarikat (AS), selaku pengeluar karbon kedua terbesar di dunia, tidak menghadiri mesyuarat terbuka itu manakala wakil China langsung tidak menyentuh mengenai kerugian dan kerosakan ketika tiba gilirannya.

Kebuntuan mengenai kerugian dan kerosakan menyebabkan persetujuan mengenai pelbagai isu yang harap dapat ditangani pada COP27 itu tergantung.

Negara maju mahu negara lain mengesahkan komitmen mereka untuk memenuhi matlamat aspirasi mengehadkan pemanasan global kepada 1.5 darjah Celsius, sasaran yang sukar kerana pelepasan CO2 dijangka mencapai tahap tertinggi sepanjang masa pada tahun ini.

Negara membangun juga ingin mendapatkan jaminan di COP27 bahawa negara kaya akhirnya akan memenuhi janji untuk menyediakan AS$100 bilion (RM455 bilion) setahun bagi membantu mereka menghijaukan ekonomi dan menyesuaikan diri dengan kesan masa depan.

"Jam iklim sedang berdetik, dan kepercayaan terus terhakis.

"Pihak di COP27 mempunyai peluang untuk membuat perubahan di sini dan sekarang. Saya menggesa mereka untuk bertindak dan melakukannya segera", kata Guterres. - AFP

Berita Harian X