Rabu, 16 November 2022 | 7:34pm
Hukuman mati dilaksanakan Kuwait itu adalah yang pertama sejak 25 Januari 2017 apabila negara Teluk yang kaya dengan sumber minyak itu menggantung tujuh individu, termasuk seorang kerabat diraja. - Foto AGENSI
Hukuman mati dilaksanakan Kuwait itu adalah yang pertama sejak 25 Januari 2017 apabila negara Teluk yang kaya dengan sumber minyak itu menggantung tujuh individu, termasuk seorang kerabat diraja. - Foto AGENSI

Kuwait hukum mati tujuh individu, kali pertama sejak 2017

KUWAIT CITY: Kuwait menjatuhkan hukuman mati terhadap tujuh individu atas kesalahan membunuh hari ini, dilaksanakan buat pertama kali sejak 2017, walaupun terdapat rayuan daripada kumpulan hak asasi yang terkemuka.

Dalam satu kenyataan, seorang wanita Ethiopia dan seorang lagi wanita Kuwait antara yang digantung bersama tiga lelaki Kuwait, selain masing-masing seorang warga Syria dan rakyat Pakistan.

Hukuman mati itu adalah yang pertama sejak 25 Januari 2017 apabila negara Teluk yang kaya dengan sumber minyak itu menggantung tujuh individu, termasuk seorang kerabat diraja.

Ia dilaksanakan beberapa hari selepas Arab Saudi memaklumkan telah menjatuhkan hukuman mati ke atas dua warga Pakistan kerana menyeludup heroin, menamatkan hampir tiga tahun hukuman mati kerana jenayah dadah.

Dalam satu kenyataan lewat malam semalam, Amnesty International menggesa hukuman mati dihentikan, menggelarnya sebagai 'hukuman paling kejam dan tidak berperikemanusiaan'.

Timbalan Pengarah Wilayah Amnesty, Amna Guellali, dalam satu kenyataan berkata, pihak berkuasa Kuwait digesa mewujudkan moratorium rasmi bagi hukuman mati dalam kadar segera.

Hukuman mati dilaksanakan secara meluas di rantau Teluk, khususnya di Iran dan Arab Saudi yang mana 81 orang dihukum bunuh dalam masa sehari pada Mac, sekali gus mengundang kecaman antarabangsa.

Kuwait menghukum mati berpuluh-puluh orang sejak hukuman mati diperkenalkan pada pertengahan 1960-an.

Kebanyakan mereka terbabit dalam jenayah membunuh atau mengedar dadah.

Pada April 2013, pihak berkuasa Kuwait menggantung tiga lelaki atas kesalahan membunuh.

Dua bulan kemudian, dua rakyat Mesir, yang disabitkan dengan kesalahan membunuh dan terbabit dalam penculikan turut dijatuhkan hukuman yang sama. - AFP

Berita Harian X