Ahad, 13 November 2022 | 3:21pm
Jet pejuang J-16D milik China adalah antara 36 pesawat dikesan terbang berdekatan ruang udara Taiwan. - Foto AP
Jet pejuang J-16D milik China adalah antara 36 pesawat dikesan terbang berdekatan ruang udara Taiwan. - Foto AP

Taiwan dakwa jet pejuang China menghampiri pulaunya

TAIPEI: Tentera China didakwa menerbangkan 36 jet pejuang dan pengebom berhampiran Taiwan semalam, kata Kementerian Pertahanan Taiwan.

Ia juga sebahagian daripada kempen menggertak atau tindakan menakut-nakutkan yang sudah lama dijalankan terhadap demokrasi di pulau diperintah sendiri, yang didakwa Beijing sebagai sebahagian daripada wilayahnya.

Kata Kementerian Pertahanan, 10 daripada pesawat itu semalam dikatakan terbang melintasi garisan median (median line) di Selat Taiwan yang memisahkan pulau itu dari tanah besar.

Katanya, antara pesawat itu termasuk enam Shenyang J-11 dan empat pesawat J-16.

Taiwan dan China berpecah pada 1949 berikutan perang saudara yang berakhir dengan Parti Komunis China menguasai tanah besar.

Pulau itu tidak pernah menjadi sebahagian daripada Republik Rakyat China, tetapi Beijing berkata ia wajib bersatu dengan tanah besar, secara paksa jika perlu.

Kerajaan pimpinan Presiden China, Xi Jinping, meningkatkan usaha tahun ini untuk menakut-nakutkan Taiwan.

Ia menghantar pesawat pejuang dan pengebom untuk terbang berhampiran pulau itu dan melepaskan peluru berpandu ke laut.

Semalam, tentera Taiwan turut mengesan empat pesawat pejuang Chengdu J-10, sebuah pesawat perang antikapal selam Y-8 dan tiga pengebom H-6 di barat daya pulau itu, kata Kementerian Pertahanan dalam laman sesawangnya.

Tambahnya, tiga dron China turut dikesan. - AP

Berita Harian X