Ahad, 13 November 2022 | 9:25am
Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen berkata beliau tidak ‘menyerah’ kepada cadangan ‘satu negara, dua sistem’ Xi Jinping untuk autonomi. - Foto REUTERS
Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen berkata beliau tidak ‘menyerah’ kepada cadangan ‘satu negara, dua sistem’ Xi Jinping untuk autonomi. - Foto REUTERS

'Taiwan milik rakyat Taiwan' - Presiden Taiwan

TAIPEI: Presiden Taiwan, Tsai Ing-wen, semalam memaklumkan bahawa misi hidupnya adalah untuk memastikan pulau itu terus menjadi milik rakyat negara itu dan kewujudannya bukanlah provokasi kepada sesiapa.

Beliau berkata demikian kepada China dalam ucapan sebelum pilihan raya.

Pilihan raya tempatan Taiwan pada 26 November ini, diadakan sebulan selepas Presiden China, Xi Jinping, meningkatkan tekanan ketenteraan ke atas pulau yang ditadbir secara demokrasi itu bagi menerima kedaulatan Beijing.

Walaupun undian terhadap datuk bandar dan ahli majlis secara nominal adalah isu domestik, namun, Ing-wen memberitahu ribuan penyokong yang bersorak pada perhimpunan di tengah Taipei bahawa lebih banyak lagi yang menjadi pertaruhan.

Ini adalah kali pertama beliau secara jelas menyerang China dalam kempen berkenaan.

Ing-wen berkata, beliau tidak 'menyerah' kepada cadangan Jinping untuk 'satu negara, dua sistem' iaitu cadangan autonomi di bawah kedaulatan China.

Katanya, di bawah kepimpinannya, semakin banyak negara menganggap demokrasi dan keselamatan Taiwan sebagai kunci kepada keamanan.

"Saya ingin memberitahu semua orang bahawa kewujudan Taiwan dan desakan rakyat terhadap kebebasan dan demokrasi bukanlah provokasi kepada sesiapa," katanya pada perhimpunan Parti Progresif Demokratik (DPP).

"Sebagai presiden, tugas saya adalah untuk melakukan segala usaha untuk membiarkan Taiwan tetap menjadi Taiwan bagi rakyat Taiwan."

China mengadakan 'permainan perang' berhampiran Taiwan pada Ogos lalu selepas Speaker Dewan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi mengadakan lawatan ke Taipei.

Sejak itu, China meneruskan aktiviti ketenteraan di kawasan berhampiran termasuk lintasan jet pejuang hampir setiap hari di Selat Taiwan.

Menurut Rumah Putih, Presiden AS, Joe Biden akan bertemu Jinping dan perbincangan Taiwan termasuk dalam agenda.

Sementara itu, ketika Ing-wen dan DPP menyapu bersih pilihan raya Presiden dan Parlimen 2020, parti pembangkang utama Kuomintang (KMT) memperoleh kemenangan kukuh dalam pilihan raya tempatan pada 2018.

Tinjauan dalam tempoh dua minggu ini akan menjadi ujian kepada kedua-dua parti menjelang undian Presiden dan Parlimen Taiwan yang seterusnya, pada awal 2024.

KMT, yang memerintah China sebelum melarikan diri ke Taiwan pada akhir perang saudara China pada 1949, secara tradisinya memihak kepada hubungan rapat dengan Beijing, yang menyebabkan ia terbuka kepada serangan DPP bahawa ia akan menjual pulau itu kepada Parti Komunis China.

KMT menafikan perkara itu, namun gagal menggoyahkan tuduhan berkenaan menjelang pilihan raya 2020, yang membawa kepada kemenangan DPP.

Bercakap pada perhimpunan pilihan raya KMT di New Taipei semalam, pengerusinya, Eric Chu, berkata misi mereka adalah untuk melindungi kebebasan dan demokrasi Taiwan.

"Matlamat paling penting adalah setiap orang boleh memiliki masa depan yang aman dan stabil," katanya. - REUTERS

Berita Harian X