Sabtu, 12 November 2022 | 4:12pm
Gambar fail menunjukkan pekerja kesihatan memasang pagar penghadang bagi ‘mengurung’ sebuah kejiranan di Changning, Shanghai di China. - Foto AP
Gambar fail menunjukkan pekerja kesihatan memasang pagar penghadang bagi ‘mengurung’ sebuah kejiranan di Changning, Shanghai di China. - Foto AP

China catat kes jangkitan terbesar hari ini sejak April lalu

SHANGHAI: China mencatatkan jangkitan baharu COVID-19 terbesar hari ini sejak April lalu, sehari selepas Beijing melancarkan beberapa langkah termasuk kuarantin lebih pendek bagi mengurangkan kesan Dasar Sifar COVID-19.

Sebelum ini, langkah ketat Dasar Sifar COVID-19 menekan teruk ekonomi kedua terbesar di dunia itu, mengganggu aktiviti perindustrian dan mengecewakan penduduk dengan penutupan, kuarantin, kekerapan ujian dan gangguan perjalanan.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan melaporkan 11,950 jangkitan COVID-19 baharu sehari sebelumnya di mana 1,504 adalah bergejala dan 10,446 tidak bergejala berbanding 10,729 kes baharu sehari sebelumnya dengan 1,209 kes bergejala dan 9,520 kes tanpa gejala, yang dikira secara berasingan oleh China.

Susulan sekatan dilonggarkan, pelabur khususnya lega kerana tempoh kuarantin dipendekkan menjadi lapan hari saja, bagaimanapun China masih akan mengesan kontak rapat pesakit COVID-19.

Firma perbankan Goldman Sachs berkata, ia terus melihat risiko penurunan kepada pertumbuhan ekonomi jangka pendek apabila beberapa bandar besar melaporkan peningkatan jumlah kes.

"Perubahan kepada tempoh kuarantin daripada '7+3' kepada '5+3' adalah kecil dari segi kesan ekonomi.

"Bagaimanapun, isyarat bahawa pucuk pimpinan sedang bersedia untuk keluar daripada Dasar Sifar COVID-19 selama tiga tahun, pada pandangan kami, kemungkinan besar tidak lama selepas 'Dua Sesi' diadakan pada bulan Mac," katanya, merujuk kepada perhimpunan Parlimen tahunan.

Tidak termasuk jangkitan import, China melaporkan 11,803 kes tempatan baharu, di mana 1,452 adalah bergejala dan 10,351 tidak bergejala, meningkat daripada 10,535 kes sehari sebelumnya.

Guangzhou, dengan hampir 19 juta penduduk, meletakkan segelintir daerah di bawah perintah berkurung dan melaporkan 3,180 jangkitan tempatan semalam, meningkat daripada 2,583 kes sehari sebelumnya.

Beijing melaporkan 68 kes bergejala dan 48 kes tanpa gejala, berbanding 64 kes bergejala dan 54 kes tanpa gejala pada hari sebelumnya.

Beberapa bahagian bandar sedang menjalani ujian harian yang mendesak, sementara gangguan perniagaan berterusan.

Pusat beli-belah SKP mewah di daerah Chaoyang turut ditutup hari ini sebagai langkah kawalan dan pencegahan COVID-19. - REUTERS

Berita Harian X