Jumaat, 11 November 2022 | 6:03pm
Presiden China, Xi Jinping. - FOTO REUTERS
Presiden China, Xi Jinping. - FOTO REUTERS

Jinping bertemu Biden, Macron; hadir sidang kemuncak G20, APEC minggu depan

BEIJING: Presiden China, Xi Jinping, akan bertemu rakan sejawat dari Amerika Syarikat (AS) dan Perancis, Joe Biden serta Emmanuel Macron, selain dijadualkan menghadiri kedua-dua sidang kemuncak Kumpulan 20 (G20) di Indonesia dan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Thailand, minggu depan, menurut Kementerian Luar China, hari ini.

Perjumpaan Jinping dengan Biden - dijangka berlangsung pada Isnin depan, menurut Rumah Putih - bakal menjadi pertemuan bersemuka yang pertama antara dua pemimpin terbabit sejak Biden menjadi Presiden AS.

Sebelum ini, kali terakhir Jinping dan Biden berjumpa secara bersemuka ialah ketika pentadbiran Obama, namun hubungan AS dengan China kemudian dilaporkan merosot ke tahap terendah dalam tempoh beberapa dekad.

Keadaan semakin buruk selepas lawatan Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi, ke Taiwan pada Ogos lalu. China mendakwa Taiwan yang memiliki pentadbiran demokrasi sendiri, sebagai sebahagian daripada wilayahnya.

China adalah pesaing strategik utama Washington, dan juga ekonomi kedua terbesar dunia selepas AS.

Menurut kenyataan Kementerian Luar China, Jinping akan menghadiri sidang kemuncak G20 di Bali dari Isnin hingga Khamis sebelum berlepas ke Thailand untuk menyertai sidang kemuncak APEC bermula Khamis hingga Sabtu, minggu depan. - REUTERS

Berita Harian X