Jumaat, 11 November 2022 | 10:26am
penduduk tempatan memakai pelitup muka ketika beratur bagi menjalani ujian COVID-19 berdekatan Menara CCTV di Beijing, China. - Foto AP
penduduk tempatan memakai pelitup muka ketika beratur bagi menjalani ujian COVID-19 berdekatan Menara CCTV di Beijing, China. - Foto AP

COVID-19 terus meningkat di China

SHANGHAI: China melaporkan 10,729 jangkitan COVID-19 baharu semalam, dengan 1,209 daripadanya bergejala dan 9,520 tidak bergejala.

Menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, sehari sebelum itu dilaporkan sejumlah 9,005 kes baharu termasuk 1,185 kes bergejala dan 7,820 kes tanpa gejala.

Tidak termasuk jangkitan import, China melaporkan 10,535 kes tempatan baharu, di mana 1,150 daripadanya bergejala dan 9,385 tidak bergejala, meningkat daripada 8,824 sehari sebelumnya.

Bagaimanapun tiada kematian baharu dilaporkan, sama seperti sehari sebelumnya, sekali gus mengekalkan kes kematian pada 5,226 orang.

Sehingga semalam, Tanah Besar China mengesahkan 268,753 kes dengan simptom.

Sementara itu, ibu kota China, Beijing, melaporkan 64 kes bergejala dan 54 kes tanpa gejala, berbanding 34 kes bergejala dan 61 tanpa gejala pada hari sebelumnya.

Guangzhou, bandar yang mempunyai hampir 19 juta penduduk, melaporkan 225 kes baru bergejala tempatan dan 2,358 kes tanpa gejala, berbanding 125 kes bergejala dan 2,430 kes tanpa gejala sehari sebelumnya.

Daerah Haizhu di Guangzhou, di mana kebanyakan kes COVID-19 di bandar itu dilaporkan, pihak berkuasa tempatan melanjutkan penutupannya hingga Ahad ini.

Seorang penduduk Beijing, China menerima vaksin penggalak COVID-19 menerusi sedutan hidung. - Foto REUTERS
Seorang penduduk Beijing, China menerima vaksin penggalak COVID-19 menerusi sedutan hidung. - Foto REUTERS

Tindakan itu menambah tekanan kewangan yang mengganggu rantaian bekalan global dan memperlahankan pertumbuhan secara mendadak dalam ekonomi kedua terbesar di dunia itu.

Menurut pihak berkuasa tempatan semalam, penduduk di daerah yang merangkumi hampir lima juta orang diarahkan berada di rumah sekurang-kurangnya hingga Ahad ini, dengan hanya seorang ahli keluarga dibenarkan keluar sekali dalam masa sehari untuk membeli keperluan.

Perintah itu dikeluarkan selepas bandar yang mempunyai seramai 13 juta penduduk itu merekodkan lebih 2,500 kes baharu dalam tempoh 24 jam lalu.

China mengekalkan dasar 'sifar-COVID' yang ketat walaupun bilangan kes yang agak rendah dan tiada kematian baharu direkodkan.

Sebahagian besar sempadan negaranya masih ditutup selain peraturan kuarantin berkaitan perjalanan dan perdagangan dalam negeri sentiasa berubah.

Sehubungan itu, Beijing menyarankan pihak berkuasa tempatan mengambil pendekatan bersasar untuk menangani wabak COVID-19 memandangkan beberapa bandar sudah pun berada bawah sekatan ketat apabila kes merebak.

China sedang bergelut dengan jumlah tertinggi kes COVID-19 sejak April lalu walaupun melaksanakan dasar sifar COVID-19 yang memberi kesan kepada ekonomi kedua terbesar di dunia itu.

Malah, beribu-ribu pegawai kerajaan sudah dihukum kerana pelbagai kegagalan sejak wabak itu tersebar tiga tahun lalu manakala penduduk semakin tertekan dengan tindakan kerajaan memperketatkan kawalan.

Sesetengah penduduk masih khuatir akan berlaku penutupan seperti yang dialami oleh hab kewangan Shanghai selama berbulan-bulan. - REUTERS

Berita Harian X