Tehran: Iran mendakwa sudah membangunkan peluru berpandu hipersonik yang berupaya menembusi sebarang jenis sistem pertahanan, kata komander unit aeroangkasanya, Jeneral Amirali Hajizadeh.
Peluru berpandu hipersonik, seperti peluru berpandu balistik tradisional yang boleh menghantar senjata nuklear, boleh terbang lebih daripada lima kali ganda kelajuan bunyi.
"Peluru berpandu balistik hipersonik ini dibangunkan untuk menentang perisai pertahanan udara.
"Ia akan dapat melanggar semua sistem pertahanan anti peluru berpandu," kata Hajizadeh, yang dipetik oleh agensi berita Iran Fars.
Katanya, kajian selama beberapa dekad mungkin diperlukan sebelum sistem yang mampu memintasnya dapat dibangunkan.
"Peluru berpandu ini, yang menyasarkan sistem anti peluru berpandu musuh, mewakili lonjakan generasi yang hebat dalam bidang peluru berpandu," katanya.
Pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas Iran mengaku menghantar dron ke Russia, tetapi menafikan berbuat demikian sejak Russia menyerang Ukraine.
Pada 16 Oktober lalu, The Washington Post melaporkan bahawa Iran sedang bersedia untuk menghantar peluru berpandu ke Russia, tetapi Tehran menolak laporan itu sebagai 'palsu'.
Tidak seperti peluru berpandu balistik, peluru berpandu hipersonik terbang pada trajektori rendah di atmosfera, berpotensi mencapai sasaran dengan lebih cepat.
Ujian Korea Utara terhadap peluru berpandu hipersonik tahun lalu mencetuskan kebimbangan mengenai perlumbaan untuk memperoleh teknologi itu.
Russia kini mendahului perlumbaan untuk membangunkan peluru berpandu, diikuti oleh China dan Amerika Syarikat (AS).
Peluru berpandu hipersonik ini boleh dikendalikan, sekali gus menjadikannya lebih sukar untuk dikesan dan bertahan.
Walaupun negara seperti AS sudah membangunkan sistem yang direka bentuk untuk mempertahankan diri daripada peluru berpandu dan balistik, keupayaan untuk menjejak dan menumpaskan peluru berpandu hipersonik masih menjadi persoalan. - AFP