BEIJING: Pihak berkuasa China disarankan mengambil pendekatan bersasar untuk menangani wabak COVID-19 dan membetulkan sebarang 'langkah bertindih' memandangkan beberapa bandar berada bawah sekatan ketat apabila kes merebak.
China sedang bergelut dengan jumlah tertinggi kes COVID-19 sejak April lalu walaupun melaksanakan dasar sifar COVID-19 yang memberi kesan kepada ekonomi kedua terbesar di dunia itu.
Malah, beribu-ribu pegawai kerajaan sudah dihukum kerana pelbagai kegagalan sejak wabak itu tersebar tiga tahun lalu, namun semalam jangkitan domestik baharu meningkat kepada 8,824 kes.
Menurut laporan agensi berita Xinhua yang dikendalikan kerajaan, semua lokaliti akan meningkatkan tahap pencegahan dan kawalan saintifik.
Usaha itu bertujuan mencapai kesan pencegahan dan kawalan paling besar pada kos paling rendah dan meminimumkan kesan wabak itu terhadap pembangunan ekonomi serta sosial.
Ia memetik penambahbaikan dalam pelaksanaan langkah dilakukan di beberapa bandar utama seperti Zhengzhou, di wilayah tengah Henan.
Apabila jangkitan ditemui di bangunan tertentu di Zhengzhou, hanya kawasan sekitar ditutup dan seluruh komuniti tidak 'dikawal dengan sewenang-wenangnya'.
Di Guangzhou, sebuah bandar di selatan dengan kira-kira 19 juta penduduk, di mana jangkitan mencecah lebih daripada 2,000 kes untuk hari ketiga berturut-turut, pegawai sudah melancarkan ujian besar-besaran.
Bagaimanapun, sesetengah penduduk masih khuatir penutupan seperti yang dialami oleh hab kewangan Shanghai selama berbulan-bulan mungkin akan dilaksanakan di kejiranan mereka. - REUTERS