Khamis, 10 November 2022 | 5:15pm
Rakyat menyertai protes anti kerajaan di Colombo, Sri Lanka, susulan krisis ekonomi yang berlarutan selama tujuh bulan. - Foto EPA
Rakyat menyertai protes anti kerajaan di Colombo, Sri Lanka, susulan krisis ekonomi yang berlarutan selama tujuh bulan. - Foto EPA

Beberapa syarikat awam Sri Lanka mungkin ditutup

COLOMBO: Puluhan syarikat milik kerajaan Sri Lanka yang menggaji puluhan ribu pekerja berdepan penutupan operasi atau penstrukturan semula susulan krisis ekonomi yang teruk melanda negara itu.

Tindakan drastik itu adalah sebahagian daripada langkah menyelamatkan negara muflis itu yang dilaksanakan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Syarikat penerbangan milik negara, Sri Lankan Airlines mendahului senarai berikutan keadaan kewangan paling teruk serta belanjawan syarikat yang sudah habis memburukkan krisis kewangan terburuk dalam sejarah negara itu.

Menurut data perbendaharaan, syarikat dengan 6,000 kakitangan itu kerugian AS$4.50 (RM18.86) bagi setiap dolar yang diraih pada permulaan tahun ini.

Ia tidak pernah mencatatkan keuntungan sejak 2008 apabila Ketua Pegawai Eksekutifnya disingkir daripada jawatan selepas memalukan pemimpin Sri Lanka ketika itu.

"Mereka yang tidak pernah menaiki pesawat Sri Lankan Airlines pun perlu membayar dalam bentuk subsidi kepada syarikat tersebut.

"Kita tidak boleh berterusan begini," kata jurucakap kerajaan, Manusha Nanayakkara kepada pemberita bulan ini.

Colombo gagal membayar hutang asingnya berjumlah AS$51 bilion (RM240 bilion) April lalu dan kini berada dalam proses yang sukar untuk berunding mengenai tanggungjawab kepada pemiutang.

IMF telah memberikan kelulusan awal bagi bantuan dana sebanyak AS$2.9 bilion (RM13.67 bilion) dengan syarat-syarat perjanjian yang belum didedahkan.

Namun, bantuan IMF kebiasaannya memiliki syarat ketat dan membabitkan beberapa langkah 'sukar' seperti kenaikan cukai, penghapusan subsidi pengguna dan menswastakan atau menutup syarikat milik kerajaan (GLC) yang rugi.

Bekas menteri kewangan, Eran Wickramaratne, berkata sekiranya pihak berkuasa tidak dapat mencari pelabur, syarikat penerbangan itu perlu menghentikan operasinya buat selamanya sebelum berterusan menjadi bebanan kepada rakyat.

"Kita adalah sebuah negara yang muflis. Kita tidak dapat membayar hutang negara dan itu adalah realitinya," ujarnya. – AFP

Berita Harian X