Rabu, 9 November 2022 | 8:45pm
Kakitangan berpakaian perlindungan diri (PPE) menjalankan ujian COVID-19 terhadap seorang budak lelaki di Beijing, China, ketika hab pengilangan di selatan, Guangzhou, dikenakan perintah berkurung. - Foto AP
Kakitangan berpakaian perlindungan diri (PPE) menjalankan ujian COVID-19 terhadap seorang budak lelaki di Beijing, China, ketika hab pengilangan di selatan, Guangzhou, dikenakan perintah berkurung. - Foto AP

COVID-19 catat rekod tertinggi dalam 5 minggu di Guangzhou

BEIJING: Kes baharu COVID-19 di Beijing melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh lebih lima bulan berikutan virus itu dilihat masih merebak dalam kalangan masyarakat di luar kuarantin.

Hari ini, sebanyak 78 jangkitan baharu dilaporkan iaitu meningkat dua kali ganda daripada 39 kes pada 4 November lalu, di mana enam kes ditemui di luar kemudahan pengasingan.

Walaupun bilangannya kecil mengikut piawaian global, dengan kebanyakan negara kini hidup dengan COVID-19, China masih menganggap jumlah itu terlalu tinggi untuk negara itu melonggarkan sekatan.

"Pada masa ini, Beijing terus mencari kes melalui ujian saringan dalam komuniti bagi mencegah risiko penularan tersembunyi yang berterusan," kata Dr Liu Xiaofeng dari Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Beijing.

Lebih daripada 10 bangunan dan kawasan kejiranan di daerah Chaoyang di tengah Beijing, di mana kebanyakan kes ditemui, berdepan sekatan melarang penduduk meninggalkan rumah atau kompleks perumahan mereka melainkan melakukan saringan.

Selain itu, kekerapan ujian turut ditingkatkan kepada sekali sehari, sehingga lima hari bagi minggu ini, di beberapa daerah termasuk Chaoyang, Haidian dan Changping.

Dengan penularan wabak di Chaoyang, beberapa penduduk di sana dilaporkan dihantar ke pusat kuarantin selepas menerima keputusan ujian tidak normal.

Bagaimanapun, beberapa sekolah, pusat jagaan harian dan tadika yang ditutup awal minggu ini dapat dibuka semula selepas risiko jangkitan dihapuskan.

Wabak terbesar negara adalah di wilayah Guangdong, yang menjadi pemacu utama beban kes di China meningkat kepada 7,740 kes semalam, yang tertinggi sejak 29 April.

Kebanyakan kes adalah di metropolis selatan Guangzhou, yang melaporkan 2,637 kes dan berdepan sekatan kali kedua mulai 9 pagi hari ini dan kebimbangan terus meningkat berhubung keupayaan mengekang wabak itu. - AGENSI

Berita Harian X