SHARM EL SHEIKH (MESIR): Negara membangun dan sedang membangun - tidak termasuk China - memerlukan pelaburan lebih AS$2 trilion (RM9.48 trilion) setiap tahun menjelang 2030, jika dunia mahu menghentikan ancaman pemanasan global yang kian serius serta menangani kesannya, menurut laporan disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), hari ini.
Menurut analisis ditugaskan oleh Britain dan Mesir - masing-masing tuan rumah sidang kemuncak iklim PBB di Glasgow pada 2021 (COP26) serta COP27 yang sedang berlangsung di Sharm El Sheikh - AS$1 trilion (RM4.74 trilion) terbabit patut datang daripada negara kaya, pelabur dan bank pembangunan pelbagai hala.
Baki kira-kira AS$1.4 trilion (RM6.63 trilion) lagi mesti diperoleh secara domestik daripada sumber swasta dan awam, kata laporan itu.
Pelaburan semasa di negara membangun dan sedang membangun - selain China - dilaporkan mencecah kira-kira AS$500 bilion (RM2.37 trilion).
Analisis baharu, 'Kewangan untuk Tindakan Iklim' setebal 100 halaman itu dibentangkan sebagai pelan tindakan pelaburan bagi menghijaukan ekonomi global secara pantas ke arah memenuhi matlamat Perjanjian Iklim Paris yang mengehadkan kenaikan suhu global kepada bawah dua darjah Celsius dan sebolehnya pada 1.5 darjah Celsius.
Saintis memberi amaran, pemanasan global yang melebihi nilai ambang itu berisiko menjadikan Bumi tidak boleh lagi didiami.
"Negara kaya harus sedar bahawa ia adalah demi kepentingan diri mereka - begitu juga dari segi keadilan memandangkan kesan teruk disebabkan tahap tinggi pelepasan gas ketika ini dan masa lalu oleh mereka - untuk melabur dalam tindakan iklim di pasaran baharu serta negara membangun," kata salah seorang peneraju laporan itu dan pakar ekonomi, Nicholas Stern.
Laporan itu ialah antara yang pertama menggariskan pelaburan diperlukan merentasi tiga bidang besar dalam rundingan iklim PBB.
Bidang berkenaan ialah pengurangan pelepasan gas rumah hijau yang mendorong pemanasan (mitigasi), menyesuaikan diri dengan kesan iklim masa depan (adaptasi), dan memberi pampasan kepada negara miskin serta rentan atas kemusnahan sudah berlaku yang tidak dapat dielakkan (kerugian dan kerosakan).
Ia turut menggesa supaya geran dan pinjaman dengan kadar faedah rendah daripada kerajaan negara maju, ditingkatkan dua kali ganda daripada kira-kira AS$30 bilion (RM142 bilion) setiap tahun ketika ini kepada AS$60 bilion (RM284 bilion) menjelang 2025.
"Sumber kewangan ini penting untuk pasaran baharu serta negara membangun menyokong tindakan memulihkan tanah dan alam semula jadi, selain bagi melindungi serta bertindak balas terhadap kerugian dan kerosakan akibat kesan perubahan iklim," menurut penulis laporan itu. - AFP