Ahad, 6 November 2022 | 7:46pm
Sidang kemuncak iklim COP27 berlangsung di Sharm El Sheikh, Mesir. - FOTO AP
Sidang kemuncak iklim COP27 berlangsung di Sharm El Sheikh, Mesir. - FOTO AP

Sidang kemuncak iklim COP27 bermula hari ini

SHARM EL SHEIKH (MESIR): Sidang kemuncak iklim bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), COP27 bermula hari ini dengan disertai hampir 200 negara sedang bergelut menangani kesan perubahan iklim yang diburukkan lagi dengan keadaan dunia dilanda krisis ekonomi, peperangan dan pergolakan berleluasa.

Dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, pelbagai bencana berkait cuaca telah meragut ribuan nyawa, selain menyebabkan berjuta-juta penduduk hilang tempat tinggal dan kerugian mencecah berbilion ringgit.

Ia termasuk insiden banjir besar di Pakistan dan Nigeria; kemarau semakin buruk di Afrika serta barat Amerika Syarikat (AS); taufan membadai Caribbean; dan gelombang haba melanda tiga benua yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, berkata laporan demi laporan berkaitan perkembangan membimbangkan itu telah memberikan gambaran yang 'jelas dan suram'.

"COP27 mesti meletak asas untuk tindakan lebih pantas serta berani, sekarang dan dalam dekad penting kini, ketika perjuangan menangani isu iklim global berdepan penentuan genting sama ada akan memang atau kalah," katanya sempena persidangan COP27 yang dijadualkan berlangsung selama 13 hari, di sini.

Ini bermakna, pelepasan gas rumah hijau harus dikurangkan 45 peratus menjelang 2030 bagi mengehadkan pemanasan global pada paras 1.5 darjah Celsius.

Saintis memberi amaran, pemanasan global yang melebihi nilai ambang itu berisiko menjadikan Bumi tidak boleh lagi didiami.

Namun mengikut dapatan diumumkan pada minggu lalu, trend semasa dijangka menyaksikan pencemaran karbon meningkat 10 peratus menjelang akhir dekad ini, manakala kepanasan permukaan bumi naik kepada 2.8 darjah Celsius.

Sebelum ini, Guterres dilaporkan berkata, Bumi sedang menuju ke titik genting di mana kemelut iklim dikhuatiri tidak lagi dapat dipulihkan, sekali gus berdepan malapetaka peningkatan suhu yang berterusan.

"Kita perlu beralih kepada titik perubahan yang membawa harapan ke arah masa depan lebih baik," katanya.

Selepas perunding barisan hadapan melancarkan COP27, hari ini, lebih 120 pemimpin dunia bakal tampil pada persidangan itu, esok dan Selasa. - AFP

Berita Harian X