IDLIB: Sekurang-kurang enam orang dilaporkan terkorban, manakala puluhan lagi cedera dalam serangan di kawasan barat laut Syria yang dikuasai kumpulan pemberontak, awal pagi tadi.
Tentera kerajaan Syria didakwa melancarkan serangan itu yang mengenai khemah didiami penduduk yang hilang tempat tinggal akibat konflik berterusan di negara ini.
Kejadian itu adalah pelanggaran terkini terhadap persetujuan gencatan senjata yang dicapai antara Russia dan Turkiye pada Mac 2020 bagi menamatkan serangan kerajaan sokongan Russia ke atas wilayah Idlib yang merupakan kubu utama terakhir kumpulan pemberontak di Syria.
Gencatan senjata itu telah berulang kali dilanggar sejak dua tahun lalu sehingga mengakibatkan ramai orang terkorban dan mengalami kecederaan.
Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria yang bertindak sebagai pemantau perang pembangkang dan berpangkalan di Britain, mendakwa tentera kerajaan membedil kira-kira 30 roket ke arah kawasan dikuasai kumpulan pemberontak, termasuk kem penempatan Maram yang terletak di barat laut Idlib.
Serangan berkenaan dilapor menyebabkan sekurang-kurang enam maut, termasuk dua kanak-kanak dan seorang wanita, manakala 25 lagi cedera.
Berikutan itu, kumpulan pemberontak didakwa melakukan serangan balas dengan melancarkan peluru berpandu dan artileri yang menyasarkan kedudukan kerajaan di Saraqib di timur Idlib serta dataran al-Ghab.
Pertahanan Awam Syria daripada pembangkang - turut dikenali sebagai Helmet Putih - mendakwa enam maut termasuk dua kanak-kanak dan seorang wanita, selain 75 lagi cedera, dalam serangan yang menyasarkan sekurang-kurang enam kem di barat ibu kota.
Stesen radio prokerajaan, Sham FM, melaporkan tentera kerajaan Syria didakwa membedil kedudukan kumpulan Hayat Tahrir al-Sham yang dikaitkan dengan Daesh. Menurutnya lagi, pesawat pejuang Syria dan Russia didakwa turut menyerang kawasan terbabit.
Konflik Syria yang berlarutan sejak tercetus pada March 2011 telah meragut ratusan ribu nyawa, memusnahkan sebahagian besar negara ini dan menyebabkan rakyat terpaksa menempuhi kehidupan cukup getir hingga kini. - AP