Ahad, 6 November 2022 | 1:00pm
China tetap teruskan acara Beijing Marathon 2022 selepas dua tahun dibatalkan angkara COVID-19 walaupun kadar jangkitan baharu coronavirus mencatat rekod tertinggi dalam enam bulan. - Foto REUTERS
China tetap teruskan acara Beijing Marathon 2022 selepas dua tahun dibatalkan angkara COVID-19 walaupun kadar jangkitan baharu coronavirus mencatat rekod tertinggi dalam enam bulan. - Foto REUTERS

China catat rekod tertinggi jangkitan baharu COVID-19 dalam 6 bulan

BEIJING: China semalam melaporkan jumlah jangkitan baharu COVID-19 tertinggi dalam tempoh enam bulan, walaupun teguh berpegang kepada dasar 'Sifar COVID-19'.

Rekod itu dicatatkan sehari selepas pegawai kesihatan memaklumkan pendirian tetap berpegang kepada sekatan coronavirus yang ketat, sekali gus mengecewakan harapan pelabur supaya negara itu melonggarkan sekatannya.

Minggu lalu, saham China melonjak susulan khabar angin negara itu mungkin mengambil langkah melonggarkan sekatan COVID-19 dan media melaporkan beberapa kelonggaran kecil pada dasar mungkin dilakukan tidak lama lagi.

Bagaimanapun, ramai penganalisis berpendapat, mereka tidak menjangkakan pelonggaran ketara akan bermula sehingga selepas sesi Parlimen tahunan China pada Mac tahun depan.

China merekodkan 4,610 jangkitan baharu COVID-19 semalam, yang mana 588 daripadanya bergejala dan 4,022 tidak bergejala, kata Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan.

Suruhanjaya itu turut membuat perbandingan tertinggi yang direkodkan pada 6 Mei dan berbanding 3,837 kes baharu sehari sebelumnya, di mana 657 daripadanya bergejala.

Meskipun bilangan kes sangat rendah mengikut piawaian global, China kekal dengan pendekatan 'Sifar COVID-19' selepas hampir tiga tahun melaksanakan penutupan, kuarantin, ujian kerap dan penurunan drastik perjalanan keluar masuk.

Menerusi sidang akhbar kelmarin, pegawai kesihatan mengulangi komitmen mereka terhadap pendekatan 'pembersihan dinamik' terhadap jangkitan COVID-19 sebaik saja ia dikesan merebak.

Menurut pegawai kawalan penyakit, Hu Xiang, langkah anti-COVID-19 China disifatkan 'tepat sepenuhnya dan paling menjimatkan lagi berkesan'.

"Kita harus mematuhi prinsip mengutamakan orang dan kehidupan serta strategi lebih luas untuk menghalang jangkitan daripada kemasukan dari luar atau dalam," katanya.

Sementara itu, bandar di selatan Guangzhou terus melaporkan peningkatan jangkitan, dengan 66 kes baharu yang tersebar dalam kalangan kes tempatan dan 1,259 kes tanpa gejala.

Sehari sebelumnya, bandar dengan hampir 19 juta penduduk itu merekodkan 111 kes bergejala dan 635 kes tanpa gejala, menurut pihak berkuasa.

Ibu negara China, Beijing merekodkan 43 kes bergejala dan enam kes tanpa gejala, berbanding 37 kes bergejala dan lima kes tanpa gejala pada hari sebelumnya.

Bagaimanapun, acara maraton tahunan Beijing tetap dilangsungkan pada pagi ini di bawah protokol COVID-19 ketat, selepas dibatalkan dua tahun sebelumnya.

Kira-kira 26,000 peserta mendaftar untuk acara yang bermula di bawah langit berkabus di Dataran Tiananmen di tengah Beijing.

Pelari dikehendaki menjalani ujian reaksi rantai polimerase (PCR) tiga hari sebelum pertandingan dan tidak meninggalkan Beijing selama tujuh hari. - REUTERS

Berita Harian X