Jumaat, 4 November 2022 | 12:31pm
Orang ramai mengusung jenazah pejuang Jihad Islam, Farouq Salama, 28, di kem pelarian Jenin dekat Tebing Barat. - Foto EPA
Orang ramai mengusung jenazah pejuang Jihad Islam, Farouq Salama, 28, di kem pelarian Jenin dekat Tebing Barat. - Foto EPA

4 lagi warga Palestin terbunuh diserang tentera Israel

RAMALLAH: Tentera Israel membunuh sekurang-kurangnya empat warga Palestin dalam dua operasi berasingan semalam, ketika proses pengiraan undi pilihan raua umum (PRU) Israel hampir selesai.

Salah seorang mangsa ditembak mati selepas dipercayai menikam seorang pegawai polis di timur Baitulmaqdis dan tiga lagi maut dalam serbuan Israel di Tebing Barat yang didudukinya.

Keganasan memuncak ketika Israel dalam proses akhir memuktamadkan kiraan undi PRU Israel yang diadakan minggu ini, dengan bekas Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu, dijangka memimpin dengan majoriti selesa.

Pemimpin parti Likud itu dijangka membentuk kerajaan gabungan dengan parti ultra Ortrodoks Yahudi dan parti Religious Zionism

Berdasarkan keputusan jawatankuasa pilihan raya lewat semalam, gabungan tiga parti itu sudah memperoleh 64 daripada 120 kerusi di Knesset atau Parlimen Israel.

Ia termasuk 32 dimenangi parti Likud, 18 oleh parti ultra Ortrodoks Yahudi dan parti Religious Zionism dan 14 kerusi bagi Religious Zionism.

Malah, Perdana Menteri Israel, Yair Lapid, semalam sudah pun mengucapkan tahniah kepada Netanyahu atas kemenangannya walaupun keputusan rasmi belum diumumkan.

Api menjulang bersama kepulan asap dalam serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza, Jumaat lalu. - FOTO REUTERS
Api menjulang bersama kepulan asap dalam serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza, Jumaat lalu. - FOTO REUTERS

Kemenangan Netanyahu, yang menentang rumusan dua negara Israel-Palestin, dijangka memburukkan lagi ketegangan di wilayah bergolak itu, yang kini sudah pun menyaksikan keganasan dan kematian hampir setiap hari.

Semalam, tentera Israel yang berpangkalan di kubu kuat militan di kem pelarian Jenin di Tebing Barat, membunuh sekurang-kurangnya dua rakyat Palestin, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

Kumpulan pejuang Palestin, Jihad Islam pula mengatakan, seorang yang terbunuh ialah komander tempatan.

Menurut penduduk, mangsa dibunuh ketika berada di kedai daging, di mana dia sedang menyediakan daging menjelang perkahwinannya hujung minggu ini.

Tentera mendakwa, Farouk Salameh, adalah individu dikehendaki berhubung beberapa serangan tembakan ke atas pasukan keselamatan Israel, termasuk pembunuhan seorang pegawai polis pada Mei lalu.

Katanya, Salameh terbunuh selepas melepaskan tembakan ke arah tentera yang melarikan diri dari tempat kejadian dan mengeluarkan pistol.

Lewat semalam, pejuang Palestin di Semenanjung Gaza melancarkan roket ke selatan Israel, mencetuskan siren serangan udara di kawasan itu.

Orang ramai mengusung jenazah Mohammed Khalouf, 14, di kem pelarian Jenin dekat Tebing Barat. - Foto EPA
Orang ramai mengusung jenazah Mohammed Khalouf, 14, di kem pelarian Jenin dekat Tebing Barat. - Foto EPA

Tentera berkata, roket itu bagaimanapun berjaya dipintas, dan tiga lagi percubaan pelancaran roket gagal dan meletup di dalam Gaza.

Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu, tetapi sebelum ini, pejuang Jihad Islam melancarkan roket sebagai tindak balas terhadap pembunuhan ahlinya.

Awal pagi semalam, Kementerian Kesihatan Palestin, berkata warganya terbunuh dalam serangan Israel yang menduduki Tebing Barat.

Sementara itu, polis Israel berkata, kejadian itu berlaku semasa serbuan di wilayah itu dan mendakwa lelaki berkenaan melemparkan bom api ke arah pasukan tentera.

Dalam kejadian berasingan semalam, seorang rakyat Palestin menikam dan mencederakan seorang pegawai polis di Kota Lama Baitulmaqdis, sebelum ditembak mati di lokasi kejadian.

Israel berkata, kebanyakan mereka yang terbunuh adalah 'pengganas', namun golongan muda yang membantah pencerobohan dan mereka yang tidak terbabit dalam pertempuran juga terbunuh.

Semalam juga, Israel berkata ia sedang mengalihkan pusat pemeriksaan masuk dan keluar dari bandar Nablus.

Sejak minggu lalu, Israel mengenakan sekatan bagi mengepung bandar itu sebagai tindak balas terhadap kumpulan pejuang baharu yang dikenali sebagai Lions' Den.

Tentera juga melakukan operasi berulang kali di bandar itu dalam beberapa minggu kebelakangan ini, membunuh atau menangkap komander tertinggi kumpulan itu. - AP

Berita Harian X