BAITULMAQDIS: Tentera Israel semalam menembak mati seorang pemandu Palestin yang cuba merempuh sekumpulan askar Israel dengan keretanya di perhentian bas di Tebing Barat.
Serangan terbaru dalam gelombang keganasan maut yang semakin memuncak ketika ini tidak menunjukkan tanda-tanda akan reda sejak berbulan-bulan.
Tragedi itu berlaku sehari selepas seorang lelaki Palestin bersenjata membunuh seorang lelaki Israel berhampiran penempatan Yahudi di Tebing Barat, hanya dua hari sebelum Israel mengadakan pilihan raya umum.
Dalam keganasan semalam, tentera Israel berkata pemandu Palestin itu menghalakan keretanya ke arah sekumpulan askar di perhentian bas berhampiran bandar Jericho dan kemudian memecut ke persimpangan berhampiran di mana tentera lain berdiri.
Akibatnya, lima askar mengalami kecederaan ringan atau sederhana manakala seorang pegawai polis Israel dan orang awam bersenjata yang berada di tempat kejadian menembak pemandu itu.
Sementara itu, satu video amatur menunjukkan kereta itu melencong dari lebuh raya dan merempuh perhentian bas dengan laju.
Beberapa orang dilihat melarikan diri ketika seorang pengawal keselamatan melompat keluar dari trak pikap dan meluru ke arah kereta.
Dalam video lain, dua warga Israel dilihat menembak puluhan peluru ke arah lelaki itu ketika dia berdiri di luar kenderaannya.
Tentera Israel juga dilihat terduduk menahan kesakitan. Suspek disahkan maut di hospital Israel.
Kementerian Kesihatan Palestin mengenal pasti lelaki berusia 49 tahun itu adalah penduduk Azariya, bandar Palestin yang terletak di timur Baitulmaqdis.
Sementara itu, di selatan Tebing Barat, tentera Israel memulakan persiapan untuk merobohkan rumah lelaki bersenjata yang melakukan serangan malam kelmarin. Beberapa orang juga cedera dalam kes tembakan lewat malam itu.
Video kamera keselamatan menunjukkan penyerang melepaskan tembakan menggunakan senapang di luar kedai runcit sebelum seorang pengawal keselamatan merempuhnya dengan trak dan menahannya.
Seorang pegawai tentera tidak bertugas kemudian melepaskan tembakan dan membunuh penyerang, yang kemudian dikenali sebagai Mohammed Jaaberi, 35, berasal dari bandar Hebron.
Serangan itu berlaku di antara bandar terbesar Palestin di Tebing Barat, Hebron dan Kiryat Arba berdekatan kawasan yang menjadi penempatan Israel.
Semalam, tentera Israel, berkata pasukannya menangkap seorang saudara lelaki Jaaberi dan mengenal pasti rumah keluarga itu dalam langkah pertama ke arah merobohkan kediaman terbabit.
Israel akan merobohkan rumah penyerang Palestin dengan alasan ia berkesan bagi menghalang keganasan masa depan walaupun tentera sudah menghentikan amalan itu selama bertahun-tahun selepas mendapati ia tidak berkesan. - AP