Khamis, 27 Oktober 2022 | 10:21am
Israel menyerang beberapa kawasan berhampiran Damsyik, awal pagi ini, serangan ketiga dalam tempoh kurang seminggu. - Foto AFP
Israel menyerang beberapa kawasan berhampiran Damsyik, awal pagi ini, serangan ketiga dalam tempoh kurang seminggu. - Foto AFP

Israel serang kawasan berhampiran Damascus

DAMASCUS: Israel menyerang beberapa kawasan berhampiran Damsyik, awal pagi ini, serangan ketiga dalam tempoh kurang seminggu, kata Kementerian Pertahanan Syria.

Israel melancarkan ratusan serangan udara ke atas wilayah Syria sejak perang saudara meletus di negara itu pada 2011 dengan menyasarkan kedudukan kerajaan dan tentera sekutu yang disokong Iran serta pejuang Hizbullah.

Wartawan AFP melaporkan, letupan kedengaran di ibu negara Syria pada malam Rabu hingga Khamis.

"Kira-kira jam 12.30 tengah malam, Israel melakukan pencerobohan udara dari arah wilayah Palestin yang diduduki, dengan menyasarkan beberapa kedudukan di sekitar Damsyik," kata Kementerian Pertahanan Syria dalam satu kenyataan.

Kementerian itu berkata, pertahanan udara Syria memintas beberapa peluru berpandu, bagaimanapun tidak memberikan sebarang butiran mengenai sasaran dan hanya menyatakan serangan menyebabkan kerosakan harta benda.

Kumpulan pemantau yang berpangkalan di Britain, Syrian Observatory for Human Rights, berkata Israel menyerang tapak yang disasarkan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik.

Tidak jelas sama ada sasaran mereka adalah kedudukan tentera Syria atau pejuang pro Iran.

Isnin lalu, Israel menyerang sekitar Damsyik dan mencederakan seorang askar selepas serangan tiga hari sebelum itu menyasarkan tapak tentera Syria berhampiran lapangan terbang.

Walaupun Israel jarang mengulas mengenai serangan yang dilakukannya ke atas Syria, ia berulang kali berkata tidak akan membenarkan musuh utamanya, Iran bertapak di sana. - AFP

Berita Harian X