Selasa, 25 Oktober 2022 | 3:20pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

China cuba lemahkan sistem kehakiman AS

WASHINGTON: Ketua Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) menuduh China cuba campur tangan sistem keadilan negara itu melalui tiga kes antaranya membabitkan gangguan perisik China terhadap pembangkang di AS.

Peguam Negara, Merrick Garland, menyatakan perkara itu ketika mengumumkan kes pertuduhan terhadap 13 warga China yang didakwa bekerja untuk agensi perisik Beijing.

Garland menjelaskan selain gangguan perisik China, negara itu juga cuba campur tangan terhadap kes pendakwaan syarikat gergasi telekomunikasi China yang difahamkan sebagai Huawei.

Selain itu, China juga dituduh memberi tekanan kepada ahli akademik AS untuk bekerja dengan mereka.

Garland berkata, kes itu menunjukkan China mencari jalan untuk mengganggu hak dan kebebasan individu di AS dan menjejaskan sistem kehakiman kami yang melindungi hak berkenaan.

"Jabatan Kehakiman tidak akan bertolak ansur dengan percubaan mana-mana kuasa asing untuk menjejaskan kedaulatan undang-undang yang menjadi asas demokrasi kita," katanya pada sidang akhbar.

Kenyataan itu dibuat Garland sehari selepas Presiden China Xi Jinping mempertahankan pentadbiranya bagi penggal ketiga.

Pemimpin AS menyalahkan Jinping apabila mereka melihat adanya usaha yang semakin meningkat oleh China sejak sedekad lalu untuk mencuri harta intelek negara itu dan selain membanteras penentang politik China di Amerika.

Salah satu kes itu tertumpu kepada gangguan dan tekanan terhadap pembangkang, yang didedahkan minggu lalu.

Dalam kes itu, tujuh warga China didakwa cuba memaksa seorang penduduk AS untuk pulang ke China di mana dua daripada mereka berjaya ditahan.

Namun baki lima yang lain di mana semuanya dipercayai adalah pekerja agensi perisikan China, masih bebas dan berkemungkinan berada di China.

Kes kedua pula membabitkan dua pegawai perisikan China yang bekerja dari negara itu, cuba merekrut seorang kakitangan kerajaan AS untuk memberi mereka maklumat dalaman mengenai pendakwaan Jabatan Kehakiman terhadap Huawei.

Pada 2019, Huawei didakwa atas kempen sistematik bagi mencuri teknologi AS manakala kes ketiga pula membabitkan perisik China yang menyamar sebagai ahli akademik untuk merekrut ejen di AS.

Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Christopher Wray, berkata banyak lagi kes di mana AS dapati, China cuba mengancam norma demokrasi dan kedaulatan undang-undang yang ditetapkan.

"Ia termasuklah usaha mereka menjejaskan keselamatan ekonomi AS dan hak asasi manusia," katanya. - AFP

Berita Harian X