NABLUS: Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan enam rakyat Palestin terbunuh dan hampir 20 lagi cedera pada awal Selasa dalam serbuan oleh tentera Israel di Tebing Barat yang diduduki.
Perdana Menteri Israel, Yair Lapid, mendakwa Wadih Al Houh, seorang pemimpin militan daripada kumpulan Lions Den adalah antara yang terbunuh di bandar Nablus, Tebing Barat utara itu.
Terdahulu, Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan tiga maut dan 19 lagi cedera, di mana tiga daripadanya parah akibat terkena tembakan oleh Israel di Nablus.
Kenyataan yang dikemaskini kemudiannya mengatakan bahawa dua lagi rakyat Palestin maut di Nablus, manakala seorang lagi warga Palestin turut terbunuh dalam pertempuran berhampiran Ramallah.
Menurut tentera Israel, operasi besar-besaran dengan polis dan pegawai perisikan diaktifkan dengan menyasarkan lokasi yang digunakan oleh ejen kumpulan Lions Den.
Kenyataan dikeluarkan pihak tentera itu juga berkata, lokasi terbabit dipercayai digunakan sebagai ibu pejabat dan bengkel untuk membuat senjata militan.
"Pasukan berkuasa itu bertindak meledakkan tapak pembuatan bahan letupan sebelum beberapa suspek bersenjata terbunuh," katanya namun tidak mendedahkan berhubung jumlah kematian.
Aktiviti keganasan dilaporkan meningkat sejak beberapa bulan kebelakangan ini di utara Tebing Barat iaitu wilayah Palestin yang diduduki sejak 1967 oleh Israel, terutama di kawasan Nablus dan Jenin.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), lebih 100 pejuang Palestin dan orang awam terbunuh sejak awal tahun, iaitu jumlah korban paling tinggi di Tebing Barat sejak tujuh tahun lalu.
Sementara itu, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas melalui jurucakapnya , Nabil Abu Rudeineh, melalui kenyataan sedang berusaha bagi menghentikan pencerobohan terhadap rakyat negara itu di Nablus.
Dalam tempoh beberapa minggu ini, pejuang muda Palestin di mana ada sebahagiannya bergabung dengan kumpulan Fatah, Hamas, dan Jihad Islam melancarkan serangan militan dari Nablus.
Kumpulan Lions Den sebelum ini mengaku bertanggungjawab ke atas serangan maut membabitkan seorang askar Israel di Tebing Barat yang diduduki, dua minggu lalu.
Bekas pemimpinnya, Ibrahim al-Nablusi yang digelar 'Singa Nablus' yang mempengaruhi generasi muda sebelum ditembak mati oleh tentera Israel pada Ogos lalu.
Beliau menjadi hero rakyat Palestin di media sosial. - AFP