BEIJING: Xi Jinping menempa sejarah apabila mempertahankan kedudukannya sebagai Presiden China bagi penggal ketiga berturut-turut, sekali gus meneruskan kerjasama dengan rakan sekutu selepas sedekad menguasai Parti Komunis China (PKC).
Jawatankuasa Pusat parti itu juga memilih Jinping sebagai Setiausaha Agungnya untuk tempoh lima tahun lagi dan dengan pelantikan itu, ia membawa China kembali ke arah pemerintahan tunggal selepas berdekad lamanya kerajaan mengamalkan perkongsian kuasa dalam kalangan pemimpin elit.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak dalam parti atas kepercayaan yang anda berikan kepada kami," katanya kepada wartawan di Dewan Besar Rakyat Beijing selepas keputusan bagi undian yang dilaksanakan secara tertutup itu diumumkan.
Xi, 69, turut dilantik semula sebagai Ketua Suruhanjaya Ketenteraan Pusat China, sekali gus mengekalkan kuasanya ke atas Tentera Pembebasan Rakyat.
Kedudukannya sebagai Presiden China bagi penggal ketiga sudah disahkan terjamin dengan perkara itu akan diumumkan secara rasmi ketika sesi perundangan tahunan kerajaan, Mac depan.
Keputusan undian itu secara tidak langsung mengukuhkan kedudukan Jinping sebagai pemimpin paling berkuasa di negara itu sejak era pengasasnya, Mao Zedong.
Dalam ucapannya, Xi meraikan kebangkitan China sebagai kuasa global dan kejayaan dicapai di bawah pemerintahannya.
"Dunia memerlukan China. Selepas lebih 40 tahun usaha tidak henti-henti ke arah pembaharuan dan keterbukaan, kami telah mencipta dua keajaiban iaitu pembangunan ekonomi yang pesat dan kestabilan sosial jangka panjang," katanya.
Pelantikannya melalui undian tertutup diadakan selepas perhimpunan selama seminggu dalam kalangan parti pemerintah di Beijing, di mana mereka menyokong ' kedudukan' Jinping dalam kepimpinan dan meluluskan rombakan menyeluruh, lalu menyaksikan bekas pesaingnya berundur.
Enam anak didik dan sekutu Jinping turut diumumkan bersama beliau sebagai Ahli Jawatankuasa Tetap Politburo iaitu kuasa tertinggi parti yang memerintah negara.
Kongres Parti Komunis China yang melabuhkan tirainya pada Sabtu lalu, berperanan menentukan keputusan kelulusan rombakan kepemimpinan tertinggi parti Xi.
Sebelum ini, Jinping pernah memansuhkan had dua penggal Presiden pada 2018, sekali gus membuka jalan untuknya memerintah selamanya.
Beliau bagaimanapun berdepan cabaran besar dalam tempoh lima tahun akan datang, termasuk menguruskan ekonomi negara yang dibelenggu hutang dan persaingan dengan Amerika Syarikat (AS) yang terus meningkat. -AFP