Sabtu, 3 September 2022 | 10:45am
Bekas Presiden Sri Lanka yang melarikan diri, Gotabaya Rajapaksa. - Foto fail AP
Bekas Presiden Sri Lanka yang melarikan diri, Gotabaya Rajapaksa. - Foto fail AP

Bekas Presiden Sri Lanka yang melarikan diri kembali ke tanah air

COLOMBO: Bekas Presiden Sri Lanka yang melarikan diri, Gotabaya Rajapaksa, kembali ke tanah air selepas tujuh minggu dalam 'pelarian' susulan kediamannya diserbu ribuan penunjuk perasaan yang berang dengan krisis ekonomi di negara itu.

Rajapaksa tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike di sini sekitar tengah malam tadi dari Bangkok, Thailand menerusi Singapura.

Beliau disambut Ahli Parlimen partinya dan meninggalkan lapangan terbang dengan kawalan ketat konvoi kenderaan askar bersenjata sampai ke rumah milik kerajaan yang disediakan kepadanya sebagai bekas Presiden, di tengah ibu kota.

Pada 13 Julai lalu, Rajapaksa bersama isteri dan dua pengawal peribadi meninggalkan Sri Lanka menaiki pesawat tentera ke Maldives, sebelum menuju ke Singapura di mana beliau secara rasmi mengumumkan peletakan jawatannya.

Dua minggu selepas itu, beliau ke Thailand sebagai destinasi seterusnya.

Rajakpaksa tidak menghadapi kes mahkamah atau waran penahanan terhadapnya tetapi beliau pernah menghadapi tuduhan rasuah sewaktu menjadi Menteri Pertahanan, ketika abangnya, Mahinda Rajapaksa, menjadi presiden.

Namun, ia ditarik balik apabila beliau dipilih sebagai presiden pada 2019 kerana diberi imuniti di bawah Perlembagaan.

Konvoi kenderaan mengiringi kereta bekas presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa, meninggalkan kompleks VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike di Colombo, Sri Lanka. - Foto EPA
Konvoi kenderaan mengiringi kereta bekas presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa, meninggalkan kompleks VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Bandaranaike di Colombo, Sri Lanka. - Foto EPA

Pada April lalu, penunjuk perasaan mula berkhemah di luar pejabat Presiden di tengah Colombo sambil bersorak 'Gota, balik rumah' sebagai tuntutan supaya Rajapaksa berundur.

Sebelum Rajapaksa meletak jawatan, abangnya berundur sebagai Perdana Menteri dan tiga lagi ahli keluarga rapatnya meletak jawatan sebagai anggota Kabinet.

Bagaimanapun, Presiden baharu Sri Lanka, Wickremesinghe, bertindak keras terhadap penunjuk perasaan, dengan tindakan pertamanya sebagai ketua negara termasuk merobohkan khemah penunjuk perasaan pada tengah malam.

Ketika itu, polis secara paksa mengeluarkan penunjuk perasaan dari tapak demonstrasi dan menyerang mereka, sekali gus menyebabkan kumpulan penunjuk perasaan semakin berkurangan secara beransur.

Keadaan semasa yang lebih terkawal mungkin antara faktor utama mendorong Rajapaksa pulang. - AP

Berita Harian X