Selasa, 27 September 2022 | 9:40pm
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

India bertindak bendung 'kegiatan anti nasional' pertubuhan Islam

NEW DELHI: Pihak berkuasa India memberkas anggota pertubuhan Islam secara besar-besaran hari ini, atas dakwaan mereka terbabit dalam kegiatan keganasan dan antinasional.

Penangkapan itu susulan tindakan agresif awal bulan ini terhadap Barisan Popular India (PFI), di mana kira-kira 100 orang ditahan dalam operasi berkenaan.

PFI mengutuk penahanan dan serbuan terbabit sebagai gangguan, lalu mengadakan tunjuk perasaan jalanan.

"Ini tidak lain hanyalah pencabulan hak untuk protes secara demokratik membantah penahanan berpilih oleh kerajaan pusat yang menyasarkan PFI. Ini adalah tidak wajar dan memang dijangkakan di bawah sistem autokratik ini," kata PFI di Twitter hari ini.

Polis di Uttar Pradesh, negeri paling ramai penduduk di India, berkata mereka menahan 57 individu hari ini yang ada kaitan dengan PFI.

Mereka didakwa terbabit dengan 'tindakan ganas dan kegiatan antinasional yang semakin meningkat di seluruh negara'.

Penahanan sama dilakukan di negeri timur laut, Assam, kata Ketua Menterinya kepada pemberita, beberapa hari selepas beliau memohon PFI diharamkan.

Awal bulan ini, Agensi Penyiasatan Kebangsaan Persekutuan menyerbu lokasi di Bihar, Tamil Nadu, Karnataka, Telangana dan Andhra Pradesh serta menahan beberapa anggota PFI.

\Agensi itu mendakwa mereka yang diberkas menganjurkan kem latihan untuk 'melakukan keganasan' atau terbabit dengan 'kegiatan antinasional'.

Pada 2019, PFI pernah mengadakan tunjuk perasaan jalanan membantah undang-undang kewarganegaraan, yang dianggap ramai orang Islam sebagai satu bentuk penindasan.

Umat Islam merangkumi 13 peratus daripada 1.4 bilion penduduk India, sebahagian besarnya mengadu terpinggir di bawah pemerintahan Perdana Menteri, Narendra Modi, seorang nasionalis Hindu dari Parti Bharatiya Janata (BJP).

BJP menafikan tuduhan itu dan menunjukkan data bahawa semua orang India tanpa mengira agama, memperoleh manfaat di bawah pentadbiran Modi dalam aspek pembangunan ekonomi dan kebajikan sosial. - REUTERS

Berita Harian X