Selasa, 27 September 2022 | 7:58am
 Foto fail AFP
Foto fail AFP

Platform NUSUK mudahkan perjalanan jemaah umrah

JEDDAH: Kementerian Haji dan Umrah melancarkan NUSUK (nusuk.sa), platform digital bersepadu Arab Saudi yang menawarkan pintu masuk perancangan yang mudah digunakan untuk perjalanan jemaah umrah dan pelawat ke Makkah serta Madinah.

https://www.nusuk.sa/
https://www.nusuk.sa/

E-platform ini bertujuan meningkatkan pengalaman umat Islam dari seluruh dunia melawat Arab Saudi dan memudahkan prosedur ketibaan pelawat menunaikan umrah.

NUSUK dilancarkan dengan kerjasama dan perkongsian dengan Pihak Berkuasa Pelancongan Saudi untuk menyediakan rangkaian penuh perkhidmatan di seluruh ekosistem Visit Saudi termasuk memudahkan visa, permit, proses tempahan dan prosedur.

NUSUK adalah antara inisiatif Program Pengalaman Jemaah Wawasan 2030.

https://www.nusuk.sa/
https://www.nusuk.sa/

NUSUK menyediakan maklumat dan pelbagai perkhidmatan untuk jemaah dan pengunjung, membolehkan mereka melakukan ibadah umrah dengan mudah dan selesa.

Memetik laporan Saudi Gazette, ia juga akan meningkatkan kualiti perkhidmatan dan memperkaya pengalaman keagamaan dan kebudayaan kepada pengunjung.

NUSUK turut menawarkan pelbagai pakej dan program untuk menambah baik dan memperkaya pengalaman umat Islam mengunjungi Makkah dan Madinah.

https://www.nusuk.sa/
https://www.nusuk.sa/

Pada peringkat seterusnya, perkhidmatan tambahan seperti peta interaktif, kalendar tawaran dan aktiviti, maklumat dan perkhidmatan penjagaan kesihatan serta panduan digital untuk semua garis panduan dasar dalam beberapa bahasa akan tersedia.

NUSUK juga menawarkan peluang kepada sektor swasta, membolehkan penyedia perkhidmatan menawarkan perkhidmatan mereka secara elektronik kepada jemaah dan pelawat.

Platform Maqam akan terus menyokong perancangan Program Lawatan Umrah sehingga perkhidmatannya dipindahkan ke NUSUK pada peringkat seterusnya.

Menteri Haji dan Umrah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Program Pengalaman Jemaah, Dr Tawfiq Al-Rabiah menjelaskan, NUSUK adalah kesinambungan usaha meningkatkan mutu perkhidmatan yang diberikan kepada jemaah dengan menggunakan teknologi terkini.

Selain itu, NUSUK bersama beberapa agensi kerajaan, akan berusaha untuk memudahkan prosedur dan membolehkan jemaah dan pengunjung menikmati perjalanan rohani secara maksimum.

Menteri Pelancongan dan Pengerusi Lembaga Pengarah Pihak Berkuasa Pelancongan Saudi, Ahmed Al Khateeb, menekankan kepentingan NUSUK di bawah payung Program Pengalaman Jemaah dan peranannya dalam rangka kerja kerjasama dan integrasi antara Pihak Berkuasa dan Kementerian Haji dan Umrah. - AGENSI

Berita Harian X