Khamis, 15 September 2022 | 8:33am
Anggota pertahanan awam mencari mangsa yang terselamat di tapak bangunan kediaman empat tingkat yang runtuh di Amman. - Foto REUTERS
Anggota pertahanan awam mencari mangsa yang terselamat di tapak bangunan kediaman empat tingkat yang runtuh di Amman. - Foto REUTERS

Bayi lima bulan terselamat bangunan runtuh di Jordan

AMMAN: Pasukan penyelamat Jordan memasuki hari kedua melaksanakan operasi mencari mangsa yang masih terselamat di bawah runtuhan bangunan di Amman, dengan sembilan mangsa sudah disahkan maut setakat ini, menurut kenyataan rasmi semalam.

Sekurang-kurangnya 25 mangsa berada di bangunan kediaman usang di daerah Webdeh di ibu negara Jordan itu, apabila ia runtuh kelmarin.

Anggota penyelamat pertahanan awam bekerja sepanjang malam untuk mengalihkan bumbung konkrit yang runtuh dan mengangkat serpihan dalam pencarian segera mereka untuk mangsa yang terselamat.

Menurut sumber hospital, puluhan mangsa sudah dikeluarkan setakat ini, dengan beberapa mangsa mengalami kecederaan serius.

Sebelum ini pihak kerajaan memberitahu mereka percaya sekurang-kurangnya sepuluh orang masih berada di bawah runtuhan dan ada yang masih hidup.

Ketua Pertahanan Awam, Hatem Jaber memberitahu pemberita operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan sehingga tiada harapan untuk mencari lebih ramai mangsa terselamat, sambil menambah lebih 350 penyelamat terbabit, selain khidmat dron dan anjing polis.

Sumber hospital juga memaklumkan, mangsa terbaharu yang terselamat dikeluarkan daripada serpihan runtuhan ialah bayi berusia lima bulan yang berada dalam keadaan stabil.

Perdana Menteri, Bisher al Khasawneh mengarahkan penyiasatan selepas pihak berkuasa mendakwa runtuhan disebabkan keadaan bangunan yang rosak.

Sumber kehakiman pula memaklumkan pihak pendakwa raya sudah membuka kes jenayah terhadap seorang kontraktor yang menggerudi bangunan itu pada hari sebelum ia runtuh serta salah seorang pemilik bangunan itu. - REUTERS.

Berita Harian X