Jumaat, 26 Ogos 2022 | 6:56pm
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Arab Saudi lancar 'Visi Madinah'

KUALA LUMPUR: Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman, melancarkan 'Visi Madinah' untuk membangunkan sayap timur Masjid Nabawi, Madinah bagi menerima kedatangan 30 juta jemaah umrah dari dalam dan luar Arab Saudi.

Saudi Press Agency (SPA) memetik kenyataan Putera Mohammed bin Salman, berhubung pelancaran itu.

"Visi Madinah ini selari dengan objektif Wawasan 2030 dalam meningkatkan kapasiti jemaah umrah kepada 30 juta orang menjelang tahun 2030 mengikut kriteria dan standard yang tertinggi.

"Hal ini membuktikan komitmen Arab Saudi dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada jemaah umrah di Madinah Munawwarah sebagai destinasi kebudayaan Islam yang mode," katanya.

Menurut beliau, projek pembangunan itu akan dijalankan di kawasan berkeluasan kira-kira 1.5 juta meter persegi, menempatkan 47 ribu unit penginapan menjelang 2030, di samping kawasan tanah lapang dan hijau.

"Projek ini turut menyediakan sembilan stesen bas, stesen kereta api bawah tanah, laluan kenderaan pandu sendiri dan tempat letak kereta bawah tanah, bagi memudahkan perjalanan jemaah ke Masjid Nabawi, selain menyediakan peluang pekerjaan dan merancakkan perniagaan setempat," katanya.

Menurut SPA lagi, Visi Madinah dijangka dapat meningkatkan mutu dan taraf hidup penduduk Madinah dan jemaah umrah yang melawat bandar itu dengan peningkatan kapasiti hotel serta perkhidmatan terbaik yang ditawarkan di sayap timur Masjid Nabawi. - BERNAMA

Berita Harian X