Isnin, 22 Ogos 2022 | 4:28pm
Anggota pasukan kecemasan dan penyelamat meneruskan usaha mencari mangsa yang tertimbus akibat tanah runtuh berhampiran akam Qattarat al-Imam Ali dekat Karbala, Iraq. - Foto AP
Anggota pasukan kecemasan dan penyelamat meneruskan usaha mencari mangsa yang tertimbus akibat tanah runtuh berhampiran akam Qattarat al-Imam Ali dekat Karbala, Iraq. - Foto AP

Tragedi makam runtuh di Iraq, 7 mayat ditemui

KARBALA: Dua lagi mayat ditarik keluar hari ini dari timbunan tanah runtuh di sebuah makam yang kerap dikunjungi pengikut Syiah di Iraq, meningkatkan jumlah kematian akibat bencana alam itu kepada tujuh mangsa.

Pengarah Pertahanan Awam, Jawdat Abdelrahman, mengesahkan bahawa mayat seorang lelaki dan seorang wanita ditemui di bawah timbunan tanah bersebelahan makam Qattarat al-Imam Ali.

"Kita sudah mengeluarkan tujuh mayat setakat ini selain menyelamatkan enam mangsa termasuk tiga kanak-kanak, bagaimanapun masih ada mangsa dipercayai terperangkap.

"Pasukan perkhidmatan kecemasan berkata kesemua mangsa berada dalam keadaan baik dan sedang dipantau di hospital," katanya kepada media.

Tanah runtuh berlaku pada Sabtu lalu apabila timbunan tanah bersebelahan Makam Qattarat al-Imam Ali runtuh akibat kadar kelembapan yang tinggi merapuhkan struktur tanah di sekelilingnya.

Tanah runtuh itu kemudian menimpa siling makam dan seterusnya kemudiannya runtuh serta menimbus pengunjung.

Pekerja keselamatan dapat menghulurkan makanan dan air kepada mereka yang masih terperangkap.

Pasukan penyelamat cuba mencari mangsa terperangkap melalui lubang kecil di celah runtuhan konkrit, lapor Agensi Berita Iraq (INA).

Dalam pada itu, Presiden Iraq, Barham Saleh menerusi kenyataan di laman Twitter menggesa pekerja penyelamat dan sukarelawan supaya terus berusaha menyelamatkan mangsa yang masih terperangkap.

Tapak makam itu yang terletak di wilayah Karbala, Iraq, mengandungi mata air di mana pengikut Syiah percaya imam pertama mereka, Ali ibn Abi Talib dan tenteranya pernah singgah untuk minum. - AFP

Berita Harian X