Sabtu, 20 Ogos 2022 | 9:28pm
Penduduk yang terjejas banjir di kawasan rendah tebing Sungai Ganges memindahkan barangan mereka ke kawasan lebih tinggi dengan bot di Daraganj di Allahabad.- Foto AFP
Penduduk yang terjejas banjir di kawasan rendah tebing Sungai Ganges memindahkan barangan mereka ke kawasan lebih tinggi dengan bot di Daraganj di Allahabad.- Foto AFP

15 maut akibat banjir, tanah runtuh di India

SHIMLA: Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh di India selepas hujan lebat akibat monsun mencetus banjir kilat dan tanah runtuh berhampiran kaki pergunungan Himalaya.

Banjir dan tanah runtuh kerap berlaku dan menyebabkan kemusnahan yang teruk ketika musim monsun di India.

Menurut pakar, perubahan iklim menyebabkan peningkatan peristiwa cuaca ekstrim di seluruh dunia, manakala pembinaan empangan, penebangan hutan dan projek pembangunan di India memburukkan keadaan dan menyumbang pada pertambahan angka korban.

Kerajaan India dalam satu kenyataan berkata, pasukan penyelamat dikerah ke daerah Mandi di utara Himachal Pradesh, di mana banjir memusnahkan dua kediaman dan meragut lapan nyawa.

Katanya, beberapa insiden tanah runtuh dan banjir turut meragut tujuh nyawa di kawasan lain di negeri itu.

Rakaman video berita menunjukkan sebahagian jambatan laluan kereta api dihanyutkan banjir di daerah Kangra.

Di daerah Hamipur, banjir kilat menyebabkan 19 individu terkandas di atas bumbung sebuah bangunan, sebelum mereka diselamatkan oleh pasukan tindak balas bencana.

Sekolah pula diarah tutup di beberapa daerah yang teruk terkesan dengan bencana berkenaan.

Bulan lalu, lapan individu maut akibat banjir kilat yang dicetuskan hujan lebat secara tiba-tiba di sebuah kem penziarah di Kashmir.

Jun lalu, hujan lebat membadai kawasan pedalaman di timur laut India, menyebabkan hampir 40 individu maut akibat tanah runtuh di kawasan perumahan pekerja kereta api dan tentera simpanan di Manipur. - AFP

Berita Harian X