Selasa, 16 Ogos 2022 | 6:46pm
Kapal penyelidikan China Yuan Wang 5 tiba di pelabuhan di Hambantota, Sri Lanka hari ini. - Foto AP
Kapal penyelidikan China Yuan Wang 5 tiba di pelabuhan di Hambantota, Sri Lanka hari ini. - Foto AP

Kapal China berlabuh di Sri Lanka walaupun dibimbangi AS, India

HAMBANTOTA: Sebuah kapal penyelidikan China berlabuh di pelabuhan Hambantota yang dikendalikan oleh China di Sri Lanka hari ini, meskipun terdapat kebimbangan India dan Amerika Syarikat (AS) mengenai dakwaan aktiviti pengintipannya.

Pegawai pelabuhan berkata, Yuan Wang 5 memasuki pelabuhan laut dalam selepas mendapat kebenaran untuk memasuki perairan Sri Lanka dengan syarat ia tidak akan terbabit dalam sebarang penyelidikan.

Kapal itu pada asalnya dijangka tiba minggu lalu, tetapi Colombo meminta Beijing menangguhkan lawatan itu berikutan bantahan oleh India, yang berkongsi kebimbangan Barat mengenai aktiviti China di rantau itu.

Namun, Sabtu lalu, selepas rundingan yang hangat, Sri Lanka membuat pusingan U dengan memberi kebenaran untuk ia untuk berlabuh di Hambantota dan kekal selama enam hari untuk mengisi minyak dan mengambil bekalan lain.

"Kami memberikan kemudahan (pelabuhan) yang sama yang kami berikan kepada semua negara lain. Semua negara ini penting bagi kami," kata jurucakap kerajaan, Bandula Gunawardana kepada pemberita.

Duta Besar China ke Sri Lanka, Qi Zhenhong berkata, lawatan Yuan Wang 5 adalah sebahagian daripada 'pertukaran biasa antara kedua-dua negara'.

"China dan Sri Lanka menikmati persahabatan yang luar biasa," kata Zhenhong kepada pemberita dalam majlis menyambut kapal itu.

Laman web analisis penghantaran menggambarkan Yuan Wang 5 sebagai kapal penyelidikan dan tinjauan, tetapi menurut media India, ia juga adalah kapal pengintip dwiguna.

Dalam sambutan itu, tiada kebiasaan ketenteraan mengalu-alukan kapal itu, namun kehadiran sekumpulan kecil penari dan pemain dram tradisional Kandyan dilihat membuat persembahan di atas permaidani merah.

Turut berlabuh adalah beberapa penggubal undang-undang, tetapi tiada ahli politik kanan atau orang kenamaan lain yang hadir.

Sepanduk merah-putih 'Hidup persahabatan China dan Sri Lanka' boleh dilihat di dek atas kapal yang mempunyai sekurang-kurangnya empat antena parabola mengarah ke langit.

Lelaki berbaju putih dan berseluar hitam turut kelihatan berdiri di atas geladak sambil mengibarkan bendera China dan Sri Lanka ketika kapal itu ditolak ke jeti utama.

Pelabuhan Hambantota dikendalikan oleh China sejak 2017, apabila mereka mengambilnya dengan pajakan selama 99 tahun dengan harga AS$1.12 bilion (RM5 bilion), kurang daripada AS$1.4 bilion (RM6.25 bilion) yang dibayar oleh Sri Lanka kepada firma China untuk membinanya.

New Delhi ketika ini semakin curiga dengan kehadiran Beijing yang semakin meningkat di Lautan Hindi dan pengaruh di Sri Lanka.

Malah, India dan AS juga menimbulkan kebimbangan keselamatan mengenai lawatan kapal itu ke Sri Lanka, dengan New Delhi membuat aduan kepada Colombo.

China berkata, 'tidak wajar sama sekali bagi negara tertentu untuk memetik mengenai kebimbangan keselamatan' untuk menekan Sri Lanka, terutamanya ketika pulau itu menghadapi krisis ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Kami menggesa pihak yang berkaitan untuk melihat aktiviti penyelidikan saintifik marin China dalam pandangan yang rasional," kata seorang pegawai China sebelum Colombo memberikan kebenaran untuk panggilan pelabuhan.

Sehari sebelum ketibaan kapal itu, India menghadiahkan sebuah pesawat pengawasan Dornier 228 kepada Sri Lanka dalam usaha untuk meningkatkan keupayaan pengawasan maritim pulau itu.

Kapal China itu dibenarkan masuk ke pelabuhan dengan syarat ia perlu memastikan Sistem Pengenalan Automatik (AIS) dihidupkan semasa berada di perairan Sri Lanka dan tidak menjalankan penyelidikan saintifik. - AFP

Berita Harian X