Sabtu, 13 Ogos 2022 | 4:40pm
Wanita di Afghanistan terpaksa bersembunyi untuk belajar di sebuah sekolah yang tidak diketahui lokasinya berikutan kerajaan taliban melarang wanita mendapatkan pendidikan. - Foto AFP
Wanita di Afghanistan terpaksa bersembunyi untuk belajar di sebuah sekolah yang tidak diketahui lokasinya berikutan kerajaan taliban melarang wanita mendapatkan pendidikan. - Foto AFP

Pejuang Taliban lepas tembakan ke udara suraikan aktivis wanita

KABUL: Pejuang Taliban melepaskan tembakan ke udara bagi menyuraikan protes wanita yang jarang berlaku di ibu negara Afghanistan itu, beberapa hari sebelum ulang tahun pertama kumpulan itu kembali berkuasa.

Kira-kira 40 wanita melaungkan "roti, kerja dan kebebasan' sambil berarak di hadapan bangunan Kementerian Pendidikan di Kabul, sebelum pejuang menyuraikan mereka dengan melepaskan tembakan ke udara, lapor seorang wartawan AFP.

Beberapa penunjuk perasaan wanita yang berlindung di kedai berhampiran kemudian dikejar dan dipukul oleh pejuang Taliban dengan senapang mereka termasuk beberapa wartawan.

Penunjuk perasaan membawa sepanduk yang bertulis '15 Ogos adalah hari hitam' merujuk kepada ulang tahun Taliban kembali berkuasa, kerana wanita kehilangan hak untuk bekerja, belajar dan berpolitik.

"Keadilan, kami mahu keadilan. Kami sudah muak dengan penyisihan ini," laung penunjuk perasaan sebelum mereka bersurai.

Sejak Taliban merampas kuasa pada 15 Ogos tahun lalu, kumpulan itu menarik balik hak dan kebebasan yang dikecapi wanita sepanjang dua dekad Amerika Syarikat (AS) berada di Afghanistan, selain menambah beberapa sekatan baharu.

Puluhan ribu gadis dihalang ke sekolah menengah, wanita tidak dibenarkan bekerja dan dilarang melakukan perjalanan jauh bersendirian serta hanya boleh melawat taman awam di ibu negara pada hari yang berasingan daripada lelaki.

Mei lalu, pemimpin tertinggi negara itu dan ketua Taliban, Hibatullah Azkhundzada, mengarahkan wanita untuk menutup aurat sepenuhnya di khalayak ramai, termasuk muka. - AFP

Berita Harian X