Khamis, 11 Ogos 2022 | 5:30pm
Seorang askar Taiwan mengambil bahagian dalam latihan tentera di lokasi yang tidak didedahkan di Taiwan pada 8 Ogos 2022. - Foto REUTERS
Seorang askar Taiwan mengambil bahagian dalam latihan tentera di lokasi yang tidak didedahkan di Taiwan pada 8 Ogos 2022. - Foto REUTERS

Taiwan tolak model 'satu negara, dua sistem', adakan latihan ketenteraan

TAIPEI: Taiwan menolak model 'satu negara, dua sistem' yang dicadangkan Beijing dalam kertas putih yang diterbitkan minggu ini, kata Kementerian Luar selepas tenteranya mengadakan satu lagi latihan menembak ketika China menamatkan latihan ketenteraannya.

Jurucakap kementerian itu, Joanne Ou, berkata hanya rakyat Taiwan yang boleh membuat keputusan untuk masa depan mereka.

Ou berkata, China menggunakan lawatan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi ke Taipei sebagai 'alasan mewujudkan normaliti baharu untuk menakutkan rakyat Taiwan'.

Latihan diadakan Taiwan hari ini dibuat selepas Beijing menamatkan latihan ketenteraan terbesarnya di sekitar pulau itu, ketika China mengulangi ancaman untuk membawa demokrasi yang diperintah sendiri di bawah kawalannya.

Dalam kertas putih yang diterbitkan semalam, Pejabat Hal Ehwal Taiwan China berkata, Beijing 'tidak akan membatalkan tindakan kekerasan' terhadap negara jirannya dan mengenepikan 'pilihan untuk mengambil semua langkah yang perlu'.

"Kami bersedia untuk mewujudkan ruang yang luas bagi penyatuan semula secara aman, tetapi tidak akan meninggalkan ruang untuk aktiviti pemisah dalam apa juga bentuk," katanya dalam kertas itu.

Beijing berang susulan lawatan Pelosi ke Taiwan minggu lalu, iaitu pegawai tertinggi AS yang melawat negara pulau itu selepas beberapa dekad.

Susulan itu, Beijing mengadakan latihan ketenteraan udara dan laut di sekitar pulau itu, sekali gus meningkatkan ketegangan ke tahap tertinggi di antara keduanya dalam beberapa tahun.

Taiwan menuduh China menggunakan lawatan Pelosi sebagai alasan untuk memulakan latihan yang membolehkannya berlatih untuk tindakan pencerobohan.

Jurucakap Kor Tentera Kelapan Taiwan, Lou Woei-jye, memberitahu AFP pasukannya melepaskan meriam katak dan suar sebagai sebahagian daripada latihan pertahanan pagi tadi.

Katanya, latihan di daerah paling selatan di Taiwan, Pingtung bermula pada 8.30 pagi waktu tempatan dan berlangsung kira-kira sejam. - AGENSI

Berita Harian X