Ahad, 7 Ogos 2022 | 2:00pm
Latihan ketenteraan terbesar mengelilingi Taiwan menyaksikan Beijing mengerahkan jet pejuang, kapal perang dan peluru berpandu balistik di sekitar pulau itu. - Foto AGENSI
Latihan ketenteraan terbesar mengelilingi Taiwan menyaksikan Beijing mengerahkan jet pejuang, kapal perang dan peluru berpandu balistik di sekitar pulau itu. - Foto AGENSI

China dijadual tamatkan latihan ketenteraan berhampiran Taiwan

BEIJING: China hari ini bersiap untuk menamatkan latihan ketenteraan terbesar mengelilingi Taiwan yang pernah diadakannya selepas lawatan kontroversi pemimpin Amerika Syarikat, Nancy Pelosi.

Beijing marah dengan lawatan Pelosi - yang menduduki senarai kedua dalam barisan penggantian kepada jawatan presiden AS - menamatkan beberapa siri perbincangan dan perjanjian kerjasama dengan Washington, terutama mengenai perubahan iklim dan kerjasama pertahanan.

Ia juga mengerahkan jet pejuang, kapal perang dan peluru berpandu balistik di sekitar Taiwan dengan tindakan itu disifatkan penganalisis sebagai mengamalkan sekatan dan pencerobohan muktamad ke atas Taiwan.

Latihan itu dijangka berakhir hari ini, walaupun Beijing sudah mengumumkan latihan baharu di Laut Kuning, terletak antara China dan semenanjung Korea akan berlangsung sehingga 15 Ogos ini.

Hari ini menyaksikan China menghantar 'pesawat, kapal dan dron' di sekitar Selat Taiwan, kata kementerian pertahanan Taipei yang disifatkannya 'meniru serangan ke atas pulau utama Taiwan dan kapal di perairannya'.

Katanya, Beijing turut menghantar dron ke pulau terpencil Taiwan dan sebagai tindak balas, pulau demokrasi itu menggerakkan 'sistem pengawasan dan peninjauan risikan bersama untuk memantau situasi musuh' serta menghantar pesawat dan kapal.

Tentera Beijing mengeluarkan video seorang juruterbang tentera udara merakam garis pantai dan gunung pulau itu dari kokpitnya bagi menunjukkan betapa dekatnya tentera China ke pantai Taiwan.

Komando Timur tentera China juga berkongsi gambar dikatakan mengenai kapal perang yang meronda di laut berhampiran Taiwan dengan garis pantai pulau itu kelihatan di latar belakang.

Menurut media kerajaan China, latihan itu juga menyaksikan Beijing melancarkan peluru berpandu balistik ke atas ibu negara Taiwan, selain Taipei kekal membangkang sepanjang tindakan itu, menegaskan ia tidak akan digeruni oleh 'jirannya yang jahat'.

Kementerian Luar Taiwan semalam menggesa Beijing 'berhenti serta-merta daripada meningkatkan ketegangan dan mengambil tindakan provokatif untuk menakutkan rakyat Taiwan'. - AFP

Berita Harian X