Sabtu, 6 Ogos 2022 | 9:15pm
India bantah kapal Yuan Wang 5 milik China berlabuh di Hambantota, Sri Lanka atas dakwaan ia mungkin diguna untuk pengintipan. - Foto AGENSI
India bantah kapal Yuan Wang 5 milik China berlabuh di Hambantota, Sri Lanka atas dakwaan ia mungkin diguna untuk pengintipan. - Foto AGENSI

Sri Lanka minta China tangguh lawatan kapal

COLOMBO: Sri Lanka meminta China menangguhkan lawatan menggunakan kapal laut yang didakwa media India sebagai kapal pengintip, susulan tekanan hebat oleh India terhadap Sri Lanka.

Menurut laman MarineTtaffic, kapal Yuan Wang 5 sedang dalam perjalanan dari pelabuhan Jiangyin, China dan dijangka tiba ke pelabuhan Hambantota di Sri Lanka yang dikendalikan China, Khamis depan.

Ia diperincikan sebagai kapal penyelidikan dan pemantauan, namun media penyiaran India, CNN-News18, mendakwa ia adalah kapal pengintip dwi fungsi, yang digunakan untuk pengesanan angkasa dan satelit serta boleh digunakan untuk pelancaran peluru berpandu balistik antara benua.

New Delhi dilaporkan bimbang kapal itu akan digunakan untuk mengintip aktivitinya, dan membuat aduan kepada Colombo.

Dalam permohonan bertulis, Kementerian Luar Sri Lanka memaklumkan kepada Kedutaan China di Colombo supaya menangguhkan lawatan itu, kata seorang pegawai yang terbabit dalam proses itu kepada AFP, hari ini.

"Kementerian ingin memohon tarikh ketibaan kapal Yuan Wang 5 di Hambantota ditangguhkan sehingga rundingan lanjut dilaksanakan berhubung perkara ini," menurut surat itu.

Semalam, Presiden Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe, memberi jaminan pada pemimpin politik bahawa lawatan kontroversi itu tidak akan diteruskan seperti dirancang.

Awal minggu ini, Colombo menepis kebimbangan India apabila memaklumkan kapal China itu hanya singgah untuk mengisi minyak serta menambah bekalan, dan tidak akan menjalankan sebarang tugasan di perairan Sri Lanka.

India kekal waspada dengan perkembangan pengaruh China di Sri Lanka dan minggu lalu, kementerian Luar India memaklumkan akan memantau rapi 'sebarang tindakan yang berisiko menjejaskan keselamatan dan kepentingan ekonomi India, serta akan melakukan segala langkah untuk melindunginya'.

Pada 2014, India membantah keras apabila dua kapal selam China berlabuh di Sri Lanka. - AFP

Berita Harian X