Jumaat, 5 Ogos 2022 | 9:36pm
FOTO REUTERS
FOTO REUTERS

China batal mesyuarat pertahanan, gantung bincang perubahan iklim dengan AS

BEIJING: China hari ini mengumumkan keputusan membatalkan beberapa mesyuarat pertahanan dan menggantung perbincangan penting berhubung perubahan iklim, dengan Amerika Syarikat (AS) susulan lawatan Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi ke Taiwan, baru-baru ini.

"Beijing akan menggantung perbincangan China-AS mengenai perubahan iklim, dan membatalkan rancangan pertemuan membabitkan pemimpin tentera serta dua mesyuarat keselamatan," menurut Kementerian Luarnya sambil menyifatkan Pelosi sengaja mengabaikan bantahan keras China terhadap lawatannya ke Taiwan.

China dan AS - dua negara terbesar dalam pelepasan karbon - membuat pakatan mengejutkan berkaitan isu iklim pada sidang kemuncak perubahan iklim, COP26 di Glasgow, tahun lalu.

Kedua-dua negara itu dilaporkan berikrar untuk bekerjasama, termasuk bersedia mengadakan pertemuan lebih kerap, bagi menangani isu perubahan iklim.

Dalam pada itu, kementerian berkenaan turut memaklumkan keputusan China untuk menggantung kerjasama dengan AS berhubung pendatang tanpa izin, bantuan kehakiman dan jenayah rentas sempadan serta dalam usaha antidadah.

Sementara itu dalam perkembangan berhubung latihan ketenteraan dilancarkan Beijing susulan lawatan Pelosi ke Taiwan pula, Taipei mendakwa 68 pesawat dan 13 kapal perang China telah melangkaui 'garisan median' di Selat Taiwan, hari ini. - AFP

Berita Harian X