Jumaat, 5 Ogos 2022 | 4:40pm
(Gambar fail) Televisyen di Seoul, Korea Selatan, menyiarkan laporan berita mengenai kes COVID-19 di Korea Utara pada Mei lalu. - FOTO REUTERS
(Gambar fail) Televisyen di Seoul, Korea Selatan, menyiarkan laporan berita mengenai kes COVID-19 di Korea Utara pada Mei lalu. - FOTO REUTERS

Korea Utara sifar kes baharu 7 hari berturut-turut, semua pesakit pulih

SEOUL: Korea Utara merekodkan sifar kes baharu demam untuk hari ketujuh berturut-turut, hari ini, menurut media yang melaporkan semua individu yang jatuh sakit selepas negara itu mengesahkan jangkitan pertama COVID-19, juga sudah pulih.

Negara itu yang mengekalkan langkah sekatan ketat bagi mengekang penularan sejak permulaan pandemik lagi, mengumumkan jangkitan sulung membabitkan varian Omicron berjaya dikesan di Pyongyang pada Mei lalu dan mengaktifkan 'sistem pencegahan epidemik kecemasan maksimum.'

Sejak itu, media negara berkenaan melaporkan angka rasmi kes jangkitan, kematian, rawatan dan pulih setiap hari, dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un tampil memfokus tindak balas kerajaan.

Negara itu bagaimanapun merujuk kes dilaporkan sebagai 'pesakit demam' dan bukan 'pesakit COVID-19', yang dilihat sebagai disebabkan kekurangan kapasiti ujian saringan.

"Tiada kes baharu demam dilaporkan sepanjang minggu terbaru ini, dan kesemua mereka yang menerima rawatan di seluruh negara telah sembuh. Keseluruhan situasi anti-epidemik di negara ini sudah memasuki fasa kestabilan yang pasti.

"Negara akan terus mengukuhkan pemantauan terhadap sub varian baharu COVID-19 serta pelbagai penyakit, dan tetap berupaya memobilisasikan petugas perubatan sekiranya berlaku krisis," lapor agensi berita rasmi Korea utara, KCNA, hari ini.

Menurut laporan KCNA, Korea Utara merekodkan hampir 4.8 juta jangkitan dengan hanya 74 kematian yang bersamaan dengan kadar korban 0.002 peratus, setakat ini.

Sebelum ini, pakar dilaporkan mendakwa Korea Utara memiliki antara sistem penjagaan kesihatan paling lemah di dunia dengan hospital kekurangan kelengkapan, sejumlah kecil unit rawatan rapi, dan tiada vaksin atau ubat untuk rawatan COVID-19.

Sebaliknya, Korea Selatan yang mempunyai sistem penjagaan kesihatan canggih dengan kebanyakan rakyat sudah menerima suntikan vaksin pula melaporkan kadar kematian akibat COVID-19 mencecah 0.12 peratus, berdasarkan data rasmi. - AFP

Berita Harian X