COLOMBO: Sri Lanka mengesahkan 'lawatan berjadual' sebuah kapal China ke perairan negara itu hanyalah bagi mengisi minyak dan menambah bekalan, sekali gus mengenepikan kebimbangan India terhadap situasi terbabit.
Menurut laman web analitik MarineTraffic, kapal penyelidikan dan pemantau, Yuan Wang 5 akan berlabuh di Pelabuhan Hambantota yang dikendalikan oleh China di selatan Sri Lanka pada 11 Ogos ini.
Laporan media India menyatakan, New Delhi bimbang bahawa kapal itu akan digunakan sebagai pengintip bagi aktiviti negara terbabit lalu membuat aduan kepada Colombo.
Menurut stesen penyiaran India, CNN-News18, ia adalah kapal pengintip dwi-guna, digunakan untuk penjejakan angkasa dan satelit selain penggunaan khusus dalam pelancaran peluru berpandu balistik antara benua.
Jurucakap kerajaan Sri Lanka, Bandula Gunawardena, berkata Kabinet sudah membincangkan mengenai lawatan kapal itu dan ia akan dibenarkan untuk berlabuh.
"India dan China membantu kami ketika dalam keadaan mendesak ketika Sri Lanka berdepan krisis ekonomi luar biasa.
"Presiden (Ranil Wickremesinghe) memberitahu Kabinet bahawa perkara ini akan diselesaikan secara diplomatik melalui perbincangan dengan semua pihak.
"Ini kerana kedua-duanya adalah rakan penting," katanya.
Menurut Gunawardena, kapal itu dijangka akan menghabiskan masa selama seminggu di Hambantota bagi mengambil bahan api dan bekalan sahaja tanpa melakukan sebarang aktiviti lain semasa berada di perairan Sri Lanka.
Sementara itu, pihak Suruhanjaya Tinggi India di Colombo belum memberikan sebarang komen berhubung perkara berkenaan.
Namun, New Delhi minggu lalu menjelaskan bahawa pihaknya akan memantau dengan teliti sebarang perkara berkaitan dengan keselamatan dan kepentingan ekonomi India selain mengambil semua langkah yang perlu untuk melindungi negara itu.
India dilaporkan masih curiga dengan pengaruh China yang semakin meningkat di jirannya di selatan Sri Lanka, yang berhutang sejumlah besar wang kepada Beijing untuk projek infrastruktur, termasuk Pelabuhan Hambantota bernilai AS$1.4 bilion (RM6.24 bilion). - AFP