Selasa, 2 Ogos 2022 | 3:55pm
Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi (dua dari kiri) meninggalkan Hotel Shangri-La Singapura selepas majlis resepsi yang dianjurkan oleh Dewan Perniagaan Amerika di Singapura semalam. - Foto AGENSI
Speaker Dewan Perwakilan AS, Nancy Pelosi (dua dari kiri) meninggalkan Hotel Shangri-La Singapura selepas majlis resepsi yang dianjurkan oleh Dewan Perniagaan Amerika di Singapura semalam. - Foto AGENSI

Rumah Putih beri amaran kepada Beijing

SINGAPURA: Rumah Putih semalam memberi amaran kepada China supaya tidak bertindak melampau terhadap perancangan lawatan Speaker Dewan Rakyat Amerika Syarikat (AS), Nancy Pelosi ke Taiwan.

Ini kerana, Pelosi mempunyai hak untuk melawat pulau di bawah pentadbiran sendiri itu walaupun Beijing melihatnya sebagai suatu tindakan yang sangat bersifat provokatif.

Jurucakap Majlis Keselamatan Kebangsaan Rumah Putih, John Kirby, berkata China tidak sepatutnya menjadikan isu lawatan Pelosi sebagai suatu krisis.

Kirby dalam masa sama memberi amaran bahawa Beijing mungkin melakukan tindak balas dengan 'menempatkan' kekuatan tenteranya di sekitar pulau itu.

Menurut laporan media, Pelosi yang kini dalam jelajah rasmi Asia, akan 'singgah' di Taiwan dan dijadual bertemu Presiden Tsai Ing-wen, esok.

Jika pertemuan itu berjalan seperti dirancang, ia akan menjadi lawatan peringkat tertinggi AS ke Taipei sejak beberapa dekad lalu.

Beijing yang melihat Taiwan sebagai wilayah di bawah jajahannya ternyata berang terhadap perkembangan itu sambil memberi amaran kepada Presiden AS, Joe Biden bahawa negara terbabit sedang 'bermain dengan api'.

Beijing juga mengumumkan pelaksanaan siri latihan ketenteraan secara langsung di Selat Taiwan.

Rumah Putih dan Jabatan Negara difahamkan menentang lawatan Pelosi, namun Kirby menjelaskan bahawa Speaker itu yang berada di barisan kedua selepas jawatan Presiden berhak untuk melawat ke mana-mana kerajaan yang dikehendakinya.

"Speaker mempunyai hak untuk melawat Taiwan dan tiada sebab bagi Beijing bagi menjadikan lawatan berpotensi ini yang selari dengan dasar konsisten AS kepada suatu bentuk krisis," katanya.

Kirby berkata, pihaknya dimaklumkan pihak risikan bahawa China sedang menyediakan kemungkinan tindakan provokasi ketenteraan termasuk tembakan peluru berpandu di Selat Taiwan atau pencerobohan skala besar ke ruang udara Taiwan.

Pelosi memulakan perjalanannya semalam dengan mengunjungi Singapura, di mana Perdana Menteri, Lee Hsien Loong, melalui mesyuarat yang diadakan menggesa Speaker untuk berusaha mencapai hubungan stabil dengan Beijing.

Pelosi juga dijadual mengunjungi Malaysia, Korea Selatan dan Jepun, tetapi prospek lawatan ke Taiwan mencuri tumpuan ramai. - AFP

Berita Harian X