Selasa, 2 Ogos 2022 | 1:17pm
gambar fail dua pemimpin Al-Qaeda, Osama Bin Laden (kiri) dan penggantinya, Ayman al-Zawahiri (kanan). - Foto AFP
gambar fail dua pemimpin Al-Qaeda, Osama Bin Laden (kiri) dan penggantinya, Ayman al-Zawahiri (kanan). - Foto AFP

Arab Saudi menyambut baik pembunuhan pemimpin Al-Qaeda

RIYADH: Arab Saudi menyambut baik pengumuman Amerika Syarikat (AS) bahawa Ketua Al-Qaeda, Ayman Al-Zawahiri dibunuh, menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini.

"Kerajaan Arab Saudi menyambut baik pengumuman Presiden AS, Joe Biden berhubung pembunuhan pemimpin kanan Al-Qaeda Ayman Al-Zawahiri dalam serangan dron," kata kenyataan itu.

Ia dikeluarkan selepas Biden mengumumkan bahawa Agensi Perisikan Pusat (CIA) berjaya membunuh Zawahiri, salah seorang pemimpin yang dilabel AS sebagai pengganas paling dikehendaki di dunia.

Kementerian Luar Arab Saudi menyifatkan Zawahiri sebagai salah seorang pemimpin pengganas yang mengetuai perancangan dan pelaksanaan operasi di AS, Arab Saudi serta beberapa negara lain di dunia.

Difahamkan, serangan terhadap sebuah rumah yang disyaki diduduki Zawahiri itu hanya mengalami kerosakan minimum kerana peluru berpandu Hellfire R9X yang digunakan CIA disasarkan terus pada pemimpin Al-Qaeda itu ketika berada di balkoni.

Peluru berpandu tanpa kepala peledak itu dipercayai dilengkapi dengan enam bilah pisau seperti 'pisau cukur' diarahkan kepada sasaran tanpa meletup.

Menurut sumber tidak rasmi, Pentagon atau CIA pernah menggunakan Hellfire R9X pada Mac 2017 menyasarkan pemimpin kanan Al-Qaeda, Abu al-Khayr al-Masri, yang terbunuh dalam serangan dron semasa perjalanan menaiki kereta di Syria.

Gambar pada kenderaan menunjukkan lubang besar dari bumbung dan semua bahagian dalaman kereta termasuk secara fizikal seperti dicincang. Namun bahagian hadapan dan belakang kereta dilihat kekal utuh.

Butiran mengenai senjata misteri yang digelar 'ginsu terbang' itu bocor selepas tersebar iklan televisyen terkenal pada 1980-an untuk jenama pisau Jepun yang mampu memotong tin aluminium dengan kemas dan ketajamannya kekal sempurna.

Juga dipanggil 'bom ninja', peluru berpandu itu menjadi senjata pilihan AS untuk membunuh pemimpin kumpulan pelampau disamping mengelak kematian dalam kalangan orang awam, seperti yang berlaku dalam kes Zawahiri.

"Ribuan orang yang tidak bersalah daripada pelbagai bangsa dan agama termasuk warga Arab Saudi, maut di tangan Al-Qaeda.

"Kerajaan Arab Saudi menekankan kepentingan mengukuhkan kerjasama dan usaha bersepadu antarabangsa untuk memerangi dan menangani keganasan.

"Arab Saudi turut menggesa semua negara bekerjasama dalam melindungi orang yang tidak bersalah daripada pertubuhan pengganas," menurut kenyataan sama.

Zawahiri yang dilahirkan di Mesir juga pakar bedah mengambil alih kepimpinan Al-Qaeda selepas pemimpin utama pertubuhan itu, Osama bin Laden dibunuh dalam satu operasi pasukan khas AS di Pakistan pada 2011. - AFP

Berita Harian X