Isnin, 1 Ogos 2022 | 1:00pm
Gambar hiasan. - Foto AFP
Gambar hiasan. - Foto AFP

Arab Saudi keluarkan lebih 70 juta permit tunai umrah

MAKKAH: Lebih 70 juta permit dikeluarkan untuk menunaikan umrah di Masjidil Haram di sini dan bersolat di Rawdah Sharaf dekat Masjid Nabawi di Madinah pada musim terakhir tahun 1443 Hijrah.

Perkara itu diumumkan jurucakap Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, Hisham Saeed, semasa wawancara dengan saluran televisyen Al-Ekhbarya.

Menurut beliau, musim umrah pada tahun 1444 Hijrah dijangka menyaksikan keadaan akan kembali normal dari segi jumlah jemaah selepas perubahan positif dalam petunjuk kesihatan.

Ia termasuk pemansuhan dan kelonggaran banyak sekatan kesihatan yang wujud dua tahun lalu akibat penularan pandemik COVID-19.

Jurucakap terbabit menekankan bahawa tidak ada angka khusus merangkumi jemaah dari setiap negara untuk menunaikan umrah.

Sesiapa yang berhajat untuk mengerjakan umrah boleh memohon secara terus dan mengemukakan visa yang sesuai serta memasuki negara itu.

Katanya, pada 30 Julai lalu yang bersamaan dengan 1 Muharam 1440 Hijrah, sesi umrah baharu secara rasminya bermula.

Beliau berkata, pihaknya sudah menerima visa dari negara luar dan ingin menunaikan umrah sejak pertengahan bulan Dhu Al-Hajj 1443 Hijrah.

Bagi yang ingin menunaikan umrah atau solat di Rawdah Sharif, sama ada warganegara Arab Saudi, penduduk dan warganegara Majlis Kerjasama Teluk (GCC) atau mereka yang mempunyai pelbagai jenis visa, kini boleh memohon permit serta memilih masa sesuai menerusi aplikasi Eatamarna.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, kementerian memaklumkan pihaknya sudah merekodkan peningkatan luar biasa dari segi jumlah permohonan visa umrah dengan permulaan musim umrah baharu pada tahun 1444 Hijrah.

Kementerian mengeluarkan lebih 20,000 visa dalam tempoh dua minggu, sejak pendaftaran dibuka pada 14 Julai lalu.

Kumpulan pertama jemaah dari luar negara tiba di Makkah untuk menunaikan umrah pada Sabtu lalu, sekali gus menandakan bermulanya musim baharu umrah.

Presidensi Umum untuk Hal Ehwal Dua Masjid Suci menerima jemaah dari luar negara di tengah-tengah pelaksanaan sistem bersepadu perkhidmatan terbaik di negara itu.

Ia menyediakan perkhidmatan kepada jemaah di seluruh Masjidil Haram di sini dan sekitarnya untuk menunaikan ibadat dengan mudah lagi selesa. - AGENSI

Berita Harian X