Ahad, 31 Julai 2022 | 9:34am
Inflasi menyebabkan harga barangan keperluan harian di Sri Lanka melambung susulan krisis ekonomi yang bertambah buruk. - Foto REUTERS
Inflasi menyebabkan harga barangan keperluan harian di Sri Lanka melambung susulan krisis ekonomi yang bertambah buruk. - Foto REUTERS

IMF tangguh bantuan kepada Sri Lanka

COLOMBO: Presiden Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe, berkata perjanjian dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) kini ditangguh hingga September ini susulan pergolakan dalaman sejak beberapa minggu lalu, lapor Associated Press.

Wickremesinghe, dalam ucapan pertamanya sejak dilantik oleh Parlimen, berkata walaupun ketika beliau memegang jawatan perdana menteri sudah ada persetujuan memuktamadkan bantuan IMF pada awal Ogos, kini ia ditangguhkan sebulan lagi.

Beliau dilantik presiden menggantikan penyandang, Gotabaya Rajapaksa, yang memulakan rundingan dengan IMF pada April lalu, tetapi terpaksa melarikan diri akibat tekanan bantahan dan tunjuk perasaan penduduk Sri Lanka pada 13 Julai lalu.

Sri Lanka berada dalam keadaan darurat sejak 13 Julai lalu, selepas protes yang memaksa Rajapaksa melarikan diri ke Maldives dan kini berada di Singapura.

Jumaat lalu, Kementerian Kewangan berkata Sri Lanka sudah menyambung semula rundingan pakej bantuan atau 'bailout' dengan IMF selepas kerajaan baharu mengambil alih dan mencapai perkembangan baik.

Negara itu kini menanggung hutang luar negara sebanyak AS$12 bilion (RM53.4 bilion) membabitkan peminjam swasta.

Sebelum ini, Bank Dunia memaklumkan ia tidak merancang menawarkan pembiayaan baharu kepada Sri Lanka sehingga negara Lautan Hindi itu mempunyai rangka kerja dasar makroekonomi yang mencukupi.

Bank Dunia dalam satu kenyataan berkata, Sri Lanka perlu menerima pakai reformasi struktur yang menumpukan kepada penstabilan ekonomi dan menangani punca krisis menyebabkannya kekurangan pertukaran asing dan makanan, bahan api serta ubat-ubatan.

Katanya, pihaknya menggunakan semula sumber di bawah pinjaman sedia ada bagi membantu meringankan masalah kekurangan barangan keperluan seperti ubat, gas memasak, baja, makanan untuk kanak-kanak dan wang tunai untuk isi rumah yang terjejas.

Bank itu juga berkata, sedang bekerja rapat untuk mewujudkan kawalan dan pengawasan fidusiari bagi memastikan pengagihan adil.

Rajapaksa, pada Jun lalu berkata Bank Dunia akan menyusun semula 17 projek sedia ada dan lebih banyak bantuan akan menyusul selepas rundingan dengan IMF mengenai pinjaman kewangan. - REUTERS

Berita Harian X