Jumaat, 29 Julai 2022 | 4:22pm
Kapal China Yuan Wang 5 dijangka tiba di pelabuhan Hambantota pada 11 Ogos. - Foto AFP
Kapal China Yuan Wang 5 dijangka tiba di pelabuhan Hambantota pada 11 Ogos. - Foto AFP

Menteri India, China hadir sidang kemuncak, kapal China menuju Sri Lanka

NEW DELHI: Menteri Luar India dan China dijadual menghadiri persidangan serantau di Uzbekistan hari ini, sehari selepas New Delhi menyatakan kebimbangan terhadap rancangan lawatan kapal tinjauan China ke pelabuhan strategik di Sri Lanka.

New Delhi bimbang pelabuhan Hambantota dibina dan dipajak China akan digunakan oleh republik itu sebagai pangkalan tentera di pekarangan India.

Pelabuhan bernilai AS$1.5 bilion (RM6.67 bilion) terletak berhampiran laluan perkapalan utama dari Asia ke Eropah.

Data penghantaran dari Refinitiv Eikon menunjukkan kapal penyelidikan dan tinjauan Yuan Wang 5 dalam perjalanan ke Hambantota dan dijangka tiba pada 11 Ogos, ketika Sri Lanka berdepan krisis ekonomi terburuk dalam tujuh dekad.

India memberi sokongan hampir AS$4 bilion (RM17.8 bilion) kepada jirannya, tahun ini.

Jurucakap Kementerian Luar India, Arindam Bagchi pada taklimat mingguan semalam berkata, kerajaan memantau rancangan lawatan kapal China, selain menjelaskan New Delhi akan melindungi keselamatan dan kepentingan ekonominya.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan sama ada Menteri Luar India, Subrahmanyam Jaishankar akan bertemu rakan sejawatannya dari China, Wang Yi pada mesyuarat Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) di Tashkent, Uzbekistan.

Ahli SCO termasuk China, India, Russia, Pakistan dan beberapa negara Asia Barat.

Sri Lanka adalah 'rakan dialog' kumpulan itu, namun tidak jelas sama ada ia akan hadir.

China secara tidak rasmi mengulas lawatan kapal itu dan ia tidak mendapat perhatian media China, selain Kementerian Luar China enggan mengulas lanjut.

India sudah pun mengemukakan bantahan lisan kepada Kerajaan Sri Lanka berhubung lawatan kapal itu, lapor Reuters, semalam.

Firma perunding Sri Lanka, Belt & Road Initiative Sri Lanka di laman webnya berkata, Yuan Wang 5 akan berada di Hambantota selama seminggu dan dijangka 'menjalankan pengesanan angkasa lepas, kawalan satelit dan penjejakan penyelidikan di barat laut Lautan Hindi, antara Ogos dan September'.

Sri Lanka secara rasmi menyerahkan aktiviti komersial di pelabuhan selatan utamanya kepada sebuah syarikat China pada 2017 dengan pajakan 99 tahun selepas bergelut untuk membayar balik hutangnya.

China adalah antara pemberi pinjaman terbesar di Sri Lanka, selain membiayai lapangan terbang, jalan raya dan kereta api, menggemparkan India yang kini cuba mendapatkan semula tanah yang hilang.

Sri Lanka menimbulkan kemarahan India pada 2014 apabila membenarkan kapal selam dan kapal perang China berlabuh di Colombo. - REUTERS

Berita Harian X