Selasa, 26 Julai 2022 | 8:36am
Sistem catuan bahan api yang akan dilaksanakan di Sri Lanka minggu ini. - Foto AFP
Sistem catuan bahan api yang akan dilaksanakan di Sri Lanka minggu ini. - Foto AFP

Sri Lanka sekat import bahan api untuk 12 bulan akan datang

COLOMBO: Sri Lanka akan menyekat import bahan api untuk 12 bulan akan datang kerana kekurangan pertukaran asing yang teruk dalam usaha untuk keluar daripada krisis ekonomi yang melumpuhkan.

Menteri Kuasa dan Tenaga Sri Lanka, Kanchana Wijesekera, berkata disebabkan isu kekurangan pertukaran mata wang asing, import bahan api perlu dihad atau dicatu dalam tempoh 12 bulan akan datang.

Sistem catuan adalah antara langkah pertama yang akan diambil oleh Presiden baharu Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe bagi mengurangkan kesan krisis selepas memegang jawatan minggu lalu berikutan kemenangan dalam undian Parlimen.

Sebelum ini, pendahulunya, Gotabaya Rajapaksa, melarikan diri dari negara itu dan kemudian meletak jawatan awal bulan ini selepas protes besar-besaran menentang salah urus ekonominya, dengan penunjuk perasaan menyerbu kediaman dan pejabat rasminya.

Negara berpenduduk 22 juta itu bergelut dengan kekurangan barang keperluan, termasuk bahan api dan ubat-ubatan selama berbulan-bulan, selepas rizab pertukaran asingnya habis kerana salah urus ekonomi dan kesan pandemik COVID-19.

Sementara itu, Pengarah Urusan Lanka IOC, Manoj Gupta, berkata syarikatnya, iaitu peruncit bahan api kedua terbesar negara akan mengimport bahan api kira-kira 30,000 tan setiap satu pada Ogos membabitkan dua penghantaran.

"Kami bekerjasama secara kolektif dengan kerajaan untuk mengurangkan kesan dan keutamaan kami adalah untuk membekalkan kepada industri," katanya.

Terdahulu, Sri Lanka turut membuka semula sekolahnya semalam selepas kekurangan bahan api yang teruk dan pergolakan politik menyebabkan ia ditutup selama hampir sebulan.

Bagaimanapun, kakitangan sektor awam diminta untuk terus bekerja dari rumah selama sebulan lagi, menurut pekeliling yang dikeluarkan Ahad lalu.

Sri Lanka kini sedang berbincang dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (MEF) mengenai pakej jaminan bernilai sehingga AS$3 bilion (RM13.36 bilion), sementara ia juga mendapatkan bantuan daripada sekutu, termasuk negara jiran India dan China. - REUTERS

Berita Harian X