Khamis, 21 Julai 2022 | 12:18pm
Penunjuk perasaan melaungkan slogan embantah pelantikan Presiden baharu Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe, ketika negara itu terjerumus lebih jauh ke dalam kancah krisis ekonomi. - Foto REUTERS
Penunjuk perasaan melaungkan slogan embantah pelantikan Presiden baharu Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe, ketika negara itu terjerumus lebih jauh ke dalam kancah krisis ekonomi. - Foto REUTERS

Penduduk Sri Lanka bergegas mohon pasport antarabangsa

COLOMBO: Barisan untuk keluar dari Sri Lanka adalah antara yang terpanjang di Colombo sekarang, ketika ribuan penduduk beratur di pejabat imigresen untuk mendapatkan pasport bagi meninggalkan negara dibelenggu krisis ekonomi itu.

Setiap hari, sekitar 3,000 penduduk menyerahkan borang bersama AS$42 (RM190) untuk mendapatkan dokumen perjalanan dan pejabat imigresen kini beroperasi 24 jam, enam hari seminggu, namun masih ramai yang perlu beratur semalaman.

Ada antara yang berbaris tanpa makanan dan minuman kerana bimbang kehilangan giliran, meskipun terpaksa menunggu dalam cuaca panas lembap tropika, ketika pegawai imigresen bertungkus lumus meluluskan dokumen.

Menurut seorang pegawai imigresen yang enggan dikenali, kerja mereka sekarang amat penat dan tiada seorang pun yang pulang ke rumah.

"Penting untuk kami mengeluarkan sebanyak mungkin pasport supaya orang ramai boleh bergerak dan mengirim wang kembali ke Sri Lanka, ia akan membantu negara ini," katanya.

Pandemik COVID-19 turut mencetuskan krisis pertukaran asing, dengan pengkritik mendakwa ia diburukkan lagi dengan salah tadbir urus kerajaan, menyebabkan Sri Lanka tidak mampu mengimport minyak, ubat dan barangan keperluan lain.

Jun lalu, inflasi Sri Lanka berada pada kadar 54.6 peratus dan negara itu tidak lagi mampu membayar hutangnya berjumlah AS$51 bilion (RM227 bilion).

Kiriman wang luar negara kekal sebagai tulang belakang ekonomi dengan lebih 10 peratus daripada 22 juta penduduknya bekerja di luar negara, terutama di negara Teluk.

Setakat ini, jumlah pasport yang dikeluarkan jabatan imigresen tahun ini sudah melebihi jumlah keseluruhan tahun lalu, dengan kadar pengeluaran 50,000 pasport sebulan melonjak ke sekitar 122,000 sebulan pada Jun lalu.

Kebanyakan pemohon pasport pula menempuhi perjalanan yang jauh kerana datang dari kawasan kampung menaiki bas yang padat dengan penumpang.

Semalam, Ranil Wickremesinghe dipilih sebagai presiden baharu Sri Lanka bagi menggantikan Gotabaya Rajapaksa, yang melarikan diri ke Singapura dan meletak jawatan selepas penunjuk perasaan menceroboh masuk kediamannya.

Colombo juga sedang berunding dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk mendapat suntikan dana, namun penghijrahan penduduk keluar dari Sri Lanka dijangka mengambil masa untuk pulih. - AFP

Berita Harian X