Isnin, 18 Julai 2022 | 10:07am
Kumpulan perusuh membakar bas yang diletakkan di kawasan sebuah sekolah selepas tragedi seorang pelajar perempuan membunuh diri. - Foto AGENSI
Kumpulan perusuh membakar bas yang diletakkan di kawasan sebuah sekolah selepas tragedi seorang pelajar perempuan membunuh diri. - Foto AGENSI

20 polis cedera, perusuh masuk sekolah

MUMBAI: Sekurang-kurangnya 20 pegawai polis di selatan India cedera semalam ketika cuba menghalang kumpulan perusuh membakar bas yang diletakkan di kawasan sebuah sekolah selepas tragedi seorang pelajar perempuan membunuh diri.

Akhbar The Times of India di laman webnya berkata, penunjuk perasaan memasuki kampus sekolah di daerah Kallakurichi di selatan Tamil Nadu dan membakar bas sekolah dan kenderaan polis bagi menuntut keadilan atas kematian pelajar itu.

Remaja itu ditemui mati di asrama sekolah swasta itu pada Rabu lalu dan dia didakwa meninggalkan nota bunuh diri yang menamakan dua guru yang didakwa menyeksanya dan beberapa pelajar lain dengan memaksa mereka belajar sepanjang masa.

Ibu bapa dan penunjuk perasaan juga menuntut siasatan bebas terhadap kejadian itu.

Guru dan pengurusan sekolah menafikan semua dakwaan menganiaya pelajar termasuk dakwaan gadis yang maut, manakala media tempatan melaporkan bahawa polis juga tidak menemui bukti terhadap mereka.

Pegawai polis yang cedera telah dibawa ke hospital tempatan dan keselamatan dipertingkatkan oleh pegawai kerajaan tempatan. - REUTERS

Berita Harian X