Ahad, 17 Julai 2022 | 5:52pm
Biden menghadiri sidang kemuncak di Jeddah. - FOTO AFP
Biden menghadiri sidang kemuncak di Jeddah. - FOTO AFP

AS tidak akan tinggalkan Asia Barat untuk Russia, China - Biden

RIYADH: Presiden Joe Biden menegaskan, Washington akan terus komited di rantau Asia Barat kerana tidak mahu membiarkan Russia, China atau Iran mengisi lompang jika rantau itu ditinggalkan Amerika Syarikat (AS).

"Kami tidak akan keluar dan meninggalkan lompang untuk diisi oleh China, Russia atau Iran," kata Biden pada Sidang Kemuncak Arab Saudi-AS di Jeddah, menurut laporan Agensi Anadolu.

Biden menamatkan rangka lawatan empat hari ke Asia Barat, semalam, selepas mengunjungi Arab Saudi, Israel dan Tebing Barat.

Lawatan itu dilihat sebagai cubaan AS mengukuhkan kepimpinannya di rantau terbabit bagi mengatasi China dan Russia selepas Moscow melancarkan operasi ketenteraan di Ukraine.

Sementara itu Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman, ketika berucap pada persidangan terbabit berkata mesyuarat berkenaan diadakan tepat pada masanya ketika dunia berdepan pelbagai cabaran besar.

Beliau turut menggesa Iran yang dianggap sebagai pesaing serantau di negara Teluk, supaya bekerjasama dan tidak mencampuri hal ehwal serantau.

Terdahulu, Washington dan Riyadh mengeluarkan kenyataan bersama untuk berusaha menyekat campur tangan Iran di rantau itu, selain mahu menghalang Tehran daripada memiliki senjata nuklear.

Sebelum sidang kemuncak bermula, Biden turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Mesir, Abdel-Fattah al-Sisi; Perdana Menteri Iraq, Mustafa al-Khadhimi; dan Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed Zayed Al-Nahyan. – BERNAMA

Berita Harian X