Ahad, 17 Julai 2022 | 5:41pm
Gambar hiasan - FOTO REUTERS
Gambar hiasan - FOTO REUTERS

GCC, AS umum bantuan AS$11 bilion tangani keselamatan makanan

ANKARA: Anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Amerika Syarikat (AS) semalam mengumumkan akan menyediakan bantuan bernilai AS$11 bilion (kira-kira RM48.9 bilion) bagi menangani cabaran keselamatan makanan serantau dan antarabangsa, lapor Agensi Anadolu yang memetik Agensi Berita Arab Saudi (SPA).

"AS menyambut baik keputusan Kumpulan Penyelarasan Arab (ACG) yang dianggotai 10 institusi pembangunan kewangan, untuk menyediakan sekurang-kurang AS$10 bilion (kira-kira RM44.5 bilion) sebagai respons kepada cabaran keselamatan makanan," menurut kenyataan bersama GCC dan AS pada Sidang Kemuncak Arab Saudi-AS di Jeddah.

Menurut kenyataan itu lagi, negara anggota GCC juga mengalu-alukan pengumuman bantuan AS sebanyak AS$1 bilion (kira-kira RM4.4 bilion) bagi keselamatan makanan jangka pendek dan panjang untuk rantau Asia Barat serta Afrika Utara.

GCC turut merakamkan penghargaan atas penubuhan Pasukan Petugas Gabungan 153 dan Pasukan Petugas 59 yang akan bersama-sama meningkatkan penyelarasan pertahanan antara negara anggota GCC dengan Komando Pusat AS untuk memantau ancaman maritim.

Sidang Kemuncak Arab Saudi-AS yang diadakan semalam dihadiri Presiden AS, Joe Biden, selain pemimpin dari negara anggota GCC, Mesir, Iraq dan Jordan.

Biden berlepas ke Jeddah, Jumaat lalu, dalam rangka lawatannya ke Asia Barat termasuk Israel dan Tebing Barat. Di Jeddah, beliau turut mengadakan pertemuan dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Abdulaziz Al-Saud, dan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman.

Sementara itu di Riyadh, Agensi Anadolu melaporkan Menteri Hal Ehwal Luar Arab Saudi, Adel al-Jubeir dalam temu bual dengan CNBC, semalam, memaklumkan bahawa Arab Saudi akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan AS dan China.

Beliau berkata, Arab Saudi membina jambatan penghubung dengan semua pihak dan tidak memandang satu pihak itu sebagai eksklusif berbanding yang lain.

"China adalah rakan dagang terbesar kami. Ia adalah pasaran besar untuk tenaga dan pasaran besar pada masa depan. China adalah pelabur besar di Arab Saudi.

"AS pula sudah tentu adalah rakan kongsi nombor satu kami dalam hal keselamatan dan penyelarasan politik, serta pelaburan dan perdagangan antara kedua-dua negara," katanya susulan kunjungan Biden ke Arab Saudi. – BERNAMA

Berita Harian X