Sabtu, 16 Julai 2022 | 1:07pm
Biden melagakan buku lima dengan Putera Mahkota Arab Saudi dalam perjumpaan di Jeddah, semalam. - FOTO EPA
Biden melagakan buku lima dengan Putera Mahkota Arab Saudi dalam perjumpaan di Jeddah, semalam. - FOTO EPA

Biden lawat Arab Saudi, ungkit kes pembunuhan Khashoggi

JEDDAH: Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, memberitahu Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed Salman, bahawa beliau menganggap baginda bertanggungjawab atas pembunuhan wartawan The Washington Post, Jamal Khashoggi, pada 2018.

Biden berkata sedemikian kepada pemerintah de facto Arab Saudi itu dalam pertemuan di sini, semalam, yang menyaksikan kedua-duanya bersalaman secara 'fist bump' atau melagakan buku lima.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Biden berkata, Putera Mahkota itu bagaimanapun menafikan terbabit dalam pembunuhan berkenaan, sebaliknya memaklumkan baginda sudah mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab.

"Dalam perjumpaan itu, saya membangkitkan perihal pembunuhan Khashoggi, dan menyuarakan secara jelas mengenai fikiran saya pada ketika itu serta apa yang saya fikirkan sekarang.

"Saya membincangkan perkara itu secara terus terang. Saya menyuarakan pandangan saya secara jelas. Saya berterus terang bahawa untuk seorang Presiden AS mendiamkan diri mengenai isu hak asasi manusia, adalah tidak konsisten dengan siapa diri kita dan juga saya.

"Baginda pada dasarnya menyatakan baginda tidak bertanggungjawab secara peribadi atas kejadian itu," katanya.

Sebelum ini, perisik AS dilaporkan mendakwa Putera Mahkota itu meluluskan satu operasi untuk menculik atau membunuh Khashoggi. Wartawan yang lantang dengan kritikan itu dikatakan dibunuh sebelum mayatnya dilupuskan oleh ejen Arab Saudi di dalam konsulat negara berkenaan di Istanbul.

Berhubung kenyataannya sebelum ini yang menyifatkan Arab Saudi sebagai 'pariah' susulan pembunuhan Khashoggi pula, Biden menegaskan beliau tidak menyesal membuat kenyataan itu.

Bagaimanapun, interaksi Biden dengan Putera Mahkota itu semalam mengundang kritikan di negaranya sendiri, termasuk The Washington Post dan Jawatankuasa Melindungi Wartawan.

Tunang Khashoggi, Hatice Cengiz pula kongsikan gambar Biden melagakan buku lima dengan Putera Mahkota itu dalam Twitter dan menyelar tindakan Presiden AS berkenaan.

Malah, wartawan AS turut lantang melontarkan soalan mengenai Khashoggi pada awal mesyuarat terbabit.

Seorang wartawan terbabit bertanya: "Adakah anda akan meminta maaf kepada keluarganya?" Begitupun, Putera Mahkota bersama Menteri Tenaga Arab Saudi yang duduk di sebelah baginda, tidak respons kepada soalan berkenaan.

Sementara itu pada lawatan berkenaan, agensi berita SPA melaporkan, AS dan Arab Saudi mencapai persetujuan akan pentingnya untuk menghalang Iran daripada 'memperoleh senjata nuklear.'

Biden dipetik sebagai menegaskan, AS komited untuk menyokong keselamatan dan pertahanan Arab Saudi.

Kedua-dua negara juga menekankan keperluan untuk mencegah Iran daripada mencampuri hal ehwal dalaman negara lain; menyokong keganasan melalui gabungan kumpulan bersenjata; serta menggugat keselamatan dan kestabilan rantau terbabit.

Pada hari sama, Biden turut mengadakan pertemuan dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Abdulaziz Al-Saud, di Jeddah. - REUTERS

Berita Harian X