Rabu, 13 Julai 2022 | 5:11pm
Penunjuk perasaan memanjat tembok di perkarangan rumah Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe, membantah pelantikannya memangku tugas presiden. - Foto REUTERS
Penunjuk perasaan memanjat tembok di perkarangan rumah Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe, membantah pelantikannya memangku tugas presiden. - Foto REUTERS

PM Sri Lanka dilantik pemangku Presiden - Speaker Parlimen

COLOMBO: Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa, menurunkan kuasa kepada Perdana Menteri, Ranil Wickremesinghe, untuk memangku tugasnya selepas beliau melarikan diri ke Maldives.

Speaker Parlimen, Mahinda Yapa Abeywardena, berkata Rajapaksa sudah memaklumkan kepadanya hari ini mengenai keputusan itu.

Keputusan yang dibuat beberapa jam selepas Gotabaya melarikan diri ke Maldives itu menyebabkan ribuan penunjuk perasaan yang berkumpul di kediaman rasmi dan sekretariat presiden kini membanjiri kediaman perdana menteri.

Anggota polis mengawal perkarangan pejabat Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe, yang kini diserbu penunjuk perasaan. - Foto REUTERS
Anggota polis mengawal perkarangan pejabat Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe, yang kini diserbu penunjuk perasaan. - Foto REUTERS

Laungan 'Ranil balik' bergema apabila pihak berkuasa berulang kali menembak gas pemedih mata dan meriam air ke arah penunjuk perasaan yang menyerbu pejabat Wickremesinghe.

Wickremesinghe, yang kini dituduh bersubahat dengan Rajapaksa, bertindak mengisytiharkan darurat sebagai tindakan pertama sebaik memangku jawatan presiden.

Sementara itu, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Sri Lanka, menerusi ciapan Twitter, menasihatkan rakyat Malaysia negara itu kekal berada di rumah selepas kerajaan mengenakan perintah berkurung.

"Sila patuhi perintah berkurung yang dikenakan oleh pihak berkuasa tempatan berikutan bantahan besar-besaran di Colombo pada masa ini," katanya.

Penunjuk perasaan terus membanjiri perkarangan pejabat Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe. - Foto REUTERS
Penunjuk perasaan terus membanjiri perkarangan pejabat Perdana Menteri Sri Lanka, Ranil Wickremesinghe. - Foto REUTERS

Misi diplomatik meminta mereka untuk berada di rumah selepas media tempatan melaporkan penunjuk perasaan sedang berarak menuju ke pejabat perdana menteri meskipun perintah berkurung dilaksanakan.

Wickremesinghe mengenakan perintah berkurung di Wilayah Barat dan darurat di negara itu, lapor Daily Mirror di laman sesawangnya.

Rakyat Sri Lanka semakin kecewa dengan kemelut kewangan yang dihadapi ketika negara itu bergelut untuk mengatasi krisis ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini. - AGENSI

Berita Harian X