Rabu, 13 Julai 2022 | 11:53am
Jemaah haji melakukan tawaf dengan mengelilingi Kaabah. - Foto REUTERS
Jemaah haji melakukan tawaf dengan mengelilingi Kaabah. - Foto REUTERS

Lebih 100,000 sukarelawan berkhidmat untuk jemaah haji tahun ini

JEDDAH: Seramai 100,570 sukarelawan mengambil bahagian dalam musim haji tahun ini, bagi memberi perkhidmatan kepada jemaah haji dalam memudahkan mereka menyelesaikan rukun Islam kelima.

Kementerian Sumber Manusia dan Pembangunan Sosial Arab Saudi, berkata inisiatif itu bertujuan menyumbang kepada mencapai Wawasan Kerajaan 2030.

Kementerian itu berkata, tugasan kerja sukarela dan bantuan yang disediakan kepada jemaah pada musim haji berbeza dalam banyak bidang terutama kesihatan, organisasi, perkhidmatan, komuniti, pendidikan dan kesedaran.

Katanya, sukarelawan lelaki dan wanita muda aktif dalam membantu jemaah haji di lebih satu satu lokasi bermula daripada ketibaan jemaah dengan membantu menyelaraskan urusan dengan pihak berkuasa di pelabuhan darat dan laut, lapangan terbang, tempat berkumpul dan saringan, sehingga ke Masjidil Haram dan tempat suci di Mina, Arafah, Muzdalifah.

Petugas sukarelawan itu turut membantu dalam penginapan jemaah bagi memastikan mereka sentiasa selesa tanpa masalah atau kesukaran.

Kementerian itu sedang berusaha menarik sukarelawan berdasarkan pengalaman dan kemahiran mereka, bagi menyertai inisiatif di Masjidil Haram dan tempat suci, untuk menyediakan perkhidmatan lapangan, organisasi dan hospitaliti terbaik kepada jemaah haji.

Tempoh khidmat sukarelawan mereka ditambah melalui Platform Kerja Sukarelawan Kebangsaan dan mereka diberikan sijil sebagai menghargai usaha serta dedikasi mereka.

Sementara itu, pihak berkuasa Arab Saudi mengumumkan bahawa lebih 50 peratus jemaah haji tahun ini sudah meninggalkan Mina sejak malam kelmarin (Isnin) selepas selesai melaksanakan ibadah masing-masing.

Pejabat Penjaga Ehwal Dua Masjid Suci sudah menyiapkan sistem perkhidmatan bersepadu untuk memudahkan pelaksanaan ibadah tawaf.

Ia menyusuli usaha Ketua Pejabat Sheikh Abdul Rahman Al-Sudais yang mengerahkan sumber pegawainya, termasuk 500 pekerja, untuk mengurus dan mengaturkan jemaah dengan kerjasama penguasa keselamatan di pekarangan Masjidil Haram.

Meskipun ibadah haji berakhir secara rasmi semalam, (Selas), hari ketiga Tashriq, namun jemaah dibenarkan pulang awal sehari pada Isnin (11 Julai). Sesetengah jemaah yang sebilangan besarnya yang tinggal di Arab Saudi mengambil kesempatan ini untuk pulang lebih awal. - AGENSI

Berita Harian X