Rabu, 13 Julai 2022 | 9:00am
Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa. - Foto fail REUTERS
Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa. - Foto fail REUTERS

Presiden Sri Lanka 'lari' ke Maldives sebelum meletak jawatan

COLOMBO: Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa melarikan diri awal pagi ini, sumber kerajaan memberitahu Reuters, beberapa jam sebelum beliau sepatutnya meletakkan jawatan selepas bantahan meluas berhubung pengendalian krisis ekonomi yang melanda.

Pemergian presiden kali pertama dilaporkan oleh Associated Press (AP), dengan Rajapaksa, isteri dan dua pengawal peribadinya pergi menaiki pesawat Tentera Udara Sri Lanka menuju ke bandar Male, ibu negara Maldives, memetik pegawai itu.

Sumber kerajaan berkata, Rajapaksa meninggalkan negara itu tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

Rajapaksa sepatutnya meletakkan jawatan sebagai presiden hari ini untuk memberi laluan kepada kerajaan perpaduan, selepas beribu-ribu penunjuk perasaan menyerbu kediaman rasminya dan perdana menteri pada hari Sabtu menuntut penyingkiran mereka.

Presiden tidak kelihatan di khalayak ramai sejak Jumaat. Parlimen akan memilih penggantinya pada 20 Julai.

Keluarga Rajapaksa, termasuk bekas Perdana Menteri, Mahinda Rajapaksa, mendominasi politik negara berpenduduk 22 juta itu selama bertahun-tahun dan kebanyakan rakyat Sri Lanka menyalahkan mereka atas masalah semasa.

Orang ramai menyerbu masuk ke dalam bangunan rumah Presiden pada hari selepas penunjuk perasaan, selepas Presiden Gotabaya Rajapaksa melarikan diri, di tengah-tengah krisis ekonomi negara, di Colombo, Sri Lanka. - Foto REUTERS
Orang ramai menyerbu masuk ke dalam bangunan rumah Presiden pada hari selepas penunjuk perasaan, selepas Presiden Gotabaya Rajapaksa melarikan diri, di tengah-tengah krisis ekonomi negara, di Colombo, Sri Lanka. - Foto REUTERS

Sebelum ini, Speaker Parlimen, Mahinda Abeywardana, memaklumkan Rajapaksa akan meletak jawatan, selepas ribuan penunjuk perasaan menyerbu memasuki kediaman rasminya kelmarin.

Ia adalah kemuncak protes antikerajaan selama beberapa bulan, didorong krisis ekonomi dan tahap rasuah yang belum pernah disaksikan sehingga menyebabkan Sri Lanka muflis, angkara pentadbiran keluarga Rajapaksa.

Rajapaksa dituduh terbabit salah urus ekonomi sehingga negara kehabisan pertukaran asing untuk membiayai import paling penting sehingga menjejaskan 22 juta penduduknya.

Semalam, parti pembangkang utama Sri Lanka dijangka mencalonkan ketuanya, Sajith Premadasa, sebagai presiden negara itu apabila pilihan raya diadakan di Parlimen pada 20 Julai.

Perkara itu dimaklumkan seorang pegawai parti Samagi Jana Balawegaya.

Untuk rekod, Sri Lanka mengalami masalah kekurangan bekalan makanan dan bahan api selama berbulan-bulan, terputus bekalan elektrik dan inflasi yang melambung tinggi selepas kehabisan mata wang asing untuk mengimport barangan penting. - REUTERS

Berita Harian X